Wednesday, October 28, 2009

KEBENARAN ISLAM : Bukti Sains Dalam al-Quran

Kebenaran Al-Quran ternyata telah mendorong ramai cendekiawan Yahudi dan Nasrani untuk memilih Islam sebagai agama mereka. Mereka memilih Islam dengan mata hati setelah mengkaji dan membandingkan Al-Quran dan Kitab Suci mereka. Begitu juga bdengan penganut-penganut agama lain. Apabila mereka membuka mata hati dan fikiran mereka untuk membandingkan agama anutan mereka dengan Islam, nescaya mereka akan tunduk kepada kebenaran Al-Quran. Persoalannya sekarang, siapakah di antara kita yang sanggup ke tengah masyarakat bukan Islam untuk mengajak mereka membuka fikiran dan berdialog bagi membuktikan kebenaran Islam dan sekaligus membawa mereka masuk agama Allah yang benar ini dan menyelamatkan mereka dari api neraka Allah di akhirat nanti? Barangkali mereka itu merupakan jiran-jiran kita, kawan-kawan kita, teman-teman sekerja kita, orang-orang selalu berurusan dengan kita, malah ada di antara mereka adalah golongan 'Abu Thalib' iaitu yang menjadi penyokong kepada perjuangan Islam.

Tulisan ini ingin memaparkan sebahagian bukti kebenaran Al-Quran dari sudut sains. Barangkali ia berguna sebagai hujah untuk membuktikan kebenaran Al-Quran. Pada kesempatan yang lain, InsyaAllah akan dibawakan pula bukti-bukti yang lain pula.

Teori Big Bang yang dikemukakan Hubble menemukan bahawa alam semesta ini terjadi berupa gumpalan, kemudian meledak sehingga terjadi berjuta-juta galaksi.

Teori tersebut dikemukakan Hubble pada tahun 1927, dan di dalam al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w pada sekitar tahun 600 Masihi lalu telah dinyatakan menerusi surah al-Anbiya´, ayat 30 yang bermaksud: "Dan apakah orang-orang yang kafir tidak mengetahui bahwasanya langit dan bumi itu kedua-duanya nya dahulu adalah suatu yang padu, kemudian Kami pisahkan antara keduanya (dengan kekuatan Kami)."

Ternyata al-Quran tidak dapat disanggah lagi apabila Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: "Dan daripada air Kami jadikan segala sesuatu yang hidup. Maka mengapakah mereka tiada juga beriman? Dan, matahari bergerak pada garis edarnya. Demikian ketetapan Tuhan Yang
Maha Kuasa dan Mengetahui." (Surah Yaasin: 38).

Bukankah ilmu pengetahuan moden baru menemukan bahawa matahari sebagai pusat peredaran seperti yang baru ditemukan Copernicus pada sekitar abad ke-15?

Tanda yang tersendiri, yang menunjukkan kekuasaan Allah s.w.t di dalam ayat tersebut adalah perjalanan matahari pada orbitnya sehingga ke penghujung pusingannya. Pusingan tersebut adalah satu ketentuan dan ketetapan daripada Allah yang Maha Kuasa lagi Maha Menguasai bagi setiap sesuatu.

Terdapat dua pendapat ulama tafsir yang mentafsirkan maksud orbit, iaitu suatu tempat yang berada di bawah Arasy yang hampir dengan bumi pada suatu arah di mana kedudukan matahari dan sekalian makhluk masih tetap berada di bawah Arasy.

Kedua, tahap akhir perjalanannya, iaitu hari kiamat. Ini telah dibuktikan oleh ahli astronomi bahawa terdapat pertambahan putaran matahari secara jelas di tengah-tengah bintang disebabkan pusingan bumi di sekeliling matahari setahun sekali.

Bagi matahari, terdapat dua pergerakan yang lain, iaitu pusingan di atas paksi dan pusingan beserta dengan pengiringan planet-planet yang bergerak di sekitar sistem solar dan galaksi dengan kecepatan yang amat tinggi.

`Mustaqir' pada pandangan ulama yang pertama adalah merupakan paksi yang tetap, manakala ulama yang kedua berpendapat ia merupakan pergerakan sistem solar bersama-sama kumpulan planetnya (Tafsir al-Munir, jld. 23, hlm. 15-17).

Kemudian hal tersebut dipersetujui oleh Albert Einstein untuk menggugurkan teori yang dikemukakan Plato (teori bumi sebagai pusat peredaran). Dan bukankah setiap benda bergerak menurut garis edarnya, seperti halnya malaikat yang mengelilingi Arasy Allah s.w.t, elektron
mengelilingi inti atom, dan manusia melakukan tawaff mengelilingi Kaabah?

Seperti yang diketahui, arah kiblat menggunakan posisi matahari yang `beristiwa' (transit) di atas (zenith) Kaabah atau Masjidil Haram. Fenomena ini berlaku apabila matahari dalam terbit dan terbenamnya mengikut rutin hariannya, mengalami tengah hari (disebut istiwa/transit) tepat atau hampir tepat pada titik zenith (dengan kata lain, berada betul-betul di atas Masjidil Haram atau Kaabah. Peristiwa ini hanya berlaku dua kali setahun, iaitu pada 28 Mei, dan 16 Julai setiap tahun. Sekalipun terdapat pandangan mengenai tahun lompat dan sebagainya, sebagai suatu kaedah rujukan bayang, selisih yang wujud adalah kecil, justeru nilai atau tarikh di atas boleh digunakan setiap tahun.

Semasa peristiwa ini berlaku, matahari seolah-olah menjadi puncak tiang yang didirikan di atas Kaabah, yang mana ia dapat disaksikan dari setiap pelosok bumi yang masih mengalami siang ketika itu (dengan kata lain, masih nampak matahari). Ini membolehkan matahari ketika itu, menjadi petunjuk di mana arah Kaabah dengan tepat.

Oleh sebab kaedah hitungan falak boleh digunakan untuk menghitung bila waktunya peristiwa ini berlaku di Kaabah, umat Islam di negara lain hanya perlu merujuk kepada perbezaan waktu sahaja. Malaysia berbeza lima jam dengan Mekah, justeru tengah hari di Mekah adalah bersamaan pukul 5.16 petang dan 5.28 petang 16 Julai di Malaysia.

Maka, pada waktu yang berkenaan, rujuk bayang objek tegak seperti tiang, dinding dan sebagainya, kemudian berdirilah di hujung bayang tersebut menghadap objek berkenaan (bersamaan menghadap ke arah matahari), dan anda menghadap arah kiblat.

Kita semua tentu ingat sebuah dokumentari (Discovery) di sebuah saluran televisyen swasta yang mengisahkan tentang kehidupan laut. Mr. Costeau dalam penjelajahan di lautan, menemukan fenomena yang sangat ganjil, iaitu adanya air tawar di tengah lautan yang tidak bercampur dengan air laut yang masin seolah-olah terdapat dinding yang membatasinya.

Sebagai penjelajah laut, Costeau sangat terkejut. Bagaimanapun, bagi umat Islam yang mengetahui, penemuan ini tidak begitu mengejutkan. Di dalam al-Quran, surah al-Furqan ayat 53 dengan amat terang menjelaskan hal itu. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan, Dialah yang menciptakan dua laut mengalir (berdampingan) yang satu tawar lagi segar dan yang lainnya masin lagi pahit. Dan Dia jadikan antara kedua-duanya dinding dan batas yang menghalanginya. "

Al-Quran juga telah membuktikan kebenaran, iaitu kata "yaum" yang bermaksud "bulan", hanya terdapat 12 kali. Kata panas dan dingin, masing-masing diulangi sebanyak empat kali, sementara dunia dan akhirat, hidup dan mati, syaitan dan malaikat, dan masih banyak
lainnya, semuanya seimbang dalam jumlah yang serasi atau sejajar dengan tujuannya dan indah kedengaran.

Ditemukan tiga bukti kebenarannya. Pertama, keindahan, keserasian dan keseimbangan kata-katanya. Kata "yaum" yang bererti "hari", dalam bentuk tunggalnya berulang sebanyak 365 kali (ini sama dengan setahun), dalam bentuk jamak diulangi sebanyak 30 kali (ini sama dengan sebulan).

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya bilangan bulan-bulan pada sisi (hukum) Allah s.w.t ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam kitab Allah s.w.t semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. (Ketetapan)
yang demikian itu ialah agama yang betul dan lurus, maka janganlah kamu menganiayai diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya) ; dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan
ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang yang bertakwa." (Surah at-Taubah: 36)

Sehubungan itu, Ulil Albab adalah golongan yang diistimewakan dan yang disebut Allah di dalam al-Quran. Sebanyak 16 kali disebut di dalam al-Quran. Ulil Albab menggunakan kurniaan akal untuk merenung setiap kejadian di alam semesta yang maha luas ini. Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi Ulil Albab (orang yang berakal)". (Surah Ali-Imran: 190)

Al-Quran menjelaskan bahawa alam dan segala kandungannya adalah ciptaan Maha Pencipta, Allah s.w.t. Dia telah memerintahkan kepada orang yang dikurniakan akal fikiran itu agar mengamati kejadian di alam cakerawala ini. Oleh kerana itu manusia perlu mengkaji mengenai rahsia-rahsia alam yang masih tidak diketahui. Allah s.w.t bukan sahaja Pencipta Alam, tetapi juga memelihara, mengawal, dan mengurus segala juzuk alam daripada sekecil-kecil hingga yang sebesar-besarnya. Semuanya tunduk kepada hukum dan peraturan yang telah ditetapkan.

Lihat bagaimana Allah memelihara perjalanan matahari yang bersaiz 99.9% daripada saiz objek-objek sistem suria, mengharungi alam cakerawala pada orbitnya sejak dari mula ia diciptakan hingga ke hari ini dan akan datang. Allah juga yang mengawal dan mengurus tentang proses penghasilan tenaga matahari melalui proses tindak balas nuklear setiap saat sebanyak 4 x 1026 Joule sesaat, menyamai 100 bilion 1 megaton bom nuklear. Tenaga yang hebat ini dibebaskan setiap saat sejak dari zaman dahulu hingga kini dan akan datang.

Bagaimana pula kehebatan Maha Pencipta yang mengatur perjalanan siang dan malam? Bagaimana bahagian malam akan menutup bahagian siang bumi dengan kelajuan 1700 km sejam (470 meter sesaat) dalam tempoh 24 jam?

Setiap bahagian bumi mendapati siang dan malam mengikut kadarnya yang tertentu. Bagaimana teliti dan hebat, bumi yang besar dengan diameter 12,756 km beredar laju dengan kelajuan 30 km sesaat mengelilingi matahari sejauh 960,000,000 km dalam masa 365.25 hari. Begitu juga
bulan -- bagaimana teratur dan telitinya ia beredar mengelilingi bumi dengan kelajuan 61.8 km sejam tanpa terlewat atau tercepat daripada masa yang ditetapkan.

Sudah tentunya al-Quran dan sains saling berkait rapat. Jika difikir dan direnung dengan akal yang waras, sudah tentu keadaan sebegitu berlaku melalui satu perancangan dan pentadbiran yang teliti dan tidak mungkin hal tersebut berlaku dengan sendirinya.

Imam Al-Ghazali menyatakan. "Sungguh, jalan untuk mengenal Allah (makrifatullah) dan mengagungkan-Nya itu adalah dengan cara memikirkan setiap mahluk-Nya, merenungkan keajaiban-keajaiban dan memahamkan hikmah-hikmah yang terkandung di dalam segenap ciptaan-Nya."

Burung Pipit Bantu Padamkan Api

NEGARA Babylon adalah negeri yang aman dan makmur. Raja yang memerintah negeri itu ialah Raja Namrud bin Kan'an. Negeri Babylon ini mempunyai tanah yang luas dan subur.

Raja Namrud memerintahkan rakyatnya mengukir patung-patung berhala. Mereka menganggap patung-patung itu adalah Tuhan.

Ketika itu, Nabi Ibrahim diutus untuk menyeru keluarganya dan kaumnya supaya meninggalkan penyembahan berhala. Tetapi mereka tidak mengendahkannya.

Akhirnya, Nabi Ibrahim pergi ke istana Raja Namrud. Baginda mahu menemui Raja Namrud dan pembesar-pembesarnya. Baginda mahu penyembahan berhala dihentikan. Raja Namrud dan pengikutnya tidak mengendahkannya.

Pada setiap tahun, rakyat Babylon akan menyambut perayaan secara besar-besaran. Pada hari tersebut mereka akan keluar menuju ke tempat perhimpunan. Ketika itulah Nabi Ibrahim menjalankan rancangannya.

Selepas mereka keluar menyambut perayaan, Nabi Ibrahim masuk ke tempat penyembahan mereka. Baginda memecahkan patung-patung berhala kecuali patung yang paling besar.

Kemudian baginda menggantungkan kapak tadi di leher patung yang paling besar itu.

Selepas itu pulanglah semua orang daripada menyambut perayaan. Mereka pergi ke tempat berhala itu untuk menyembahnya. Alangkah terkejutnya mereka apabila didapati semua tuhan-tuhan mereka telah hancur dan berselerakan di atas lantai.

Mereka mencari Nabi Ibrahim dan menangkapnya. Raja Namrud mahu Nabi Ibrahim dibawa ke hadapan orang ramai supaya menjadi saksi atas perbuatan jenayahnya. Raja Namrud memerintahkan Nabi Ibrahim dibakar hidup-hidup.

Raja Namrud memerintahkan seluruh rakyatnya mengumpul kayu-kayu. Setelah satu timbunan kayu api yang besar dilonggokkan, api pun dinyalakan. Nabi Ibrahim diikat dan diletakkan di atas pelontar lalu dicampakkan ke dalam api yang marak itu.

Ketika Nabi Ibrahim dibakar, burung-burung yang berterbangan juga menyaksikan peristiwa tersebut. Ada seekor burung pipit yang berasa kasihan melihat baginda yang dibakar hidup-hidup itu. Burung pipit itu mahu menolong Nabi Ibrahim.

Burung pipit itu terbang mencari air. Ia menyedut dan menyimpan air tersebut di dalam paruhnya yang kecil itu. Burung-burung lain kehairanan melihat perlakuan burung pipit.

"Wahai pipit, apa yang engkau mahu lakukan?" tanya burung-burung yang lain.

"Aku mahu membantu Nabi Ibrahim. Aku mahu padamkan api yang membakar Nabi Ibrahim," jawab burung pipit.

"Macam mana kamu mahu padamkan api itu. Kamu tidak mampu membawa air yang banyak. Paruh yang kamu ada itu kecil. Sia-sia saja usaha kamu itu," kata burung lain pula.

Walau bagaimanapun, burung pipit tidak berputus asa dan meneruskan usahanya untuk membantu Nabi Ibrahim. Lalu ia membawa air yang disimpan di dalam paruhnya itu ke arah api yang marak. Dengan izin Allah, api yang marak itu semakin berkurangan. Itu sahaja yang ia mampu untuk membantu Nabi Ibrahim. Walaupun sedikit sahaja pertolongannya, ia berpuas hati. Sekurang-kurangnya ia dapat membantu Nabi Ibrahim.

Setelah kayu-kayu itu menjadi bara, maka orang ramai menghampiri unggun api yang telah menjadi bara. Burung pipit itu berasa gembira. Keyakinan burung pipit terhadap kekuasaan Allah semakin kuat dan terbang dengan penuh kesyukuran.

Orang ramai yang berada di situ berasa terkejut apabila melihat Nabi Ibrahim keluar daripada bara api itu seperti sediakala. Badannya sedikitpun tidak melecur.

BIDANG PENGAJIANKU (KESUSASTERAAN ARAB) : Kegemilangan Sastera Arab

Enam syair terkenal yang lain di kenali sebagai Syair Amriolkais, Syair Zohair, Syair Lebeid, Syair Antara, Syair Amru dan Syair Hareth.

Syair kumpulan Moalakat sehingga kini begitu terkenal dan sentiasa menjadi bahan kajian terutama bagi pengkaji bahasa dan sastera.

Begitulah bangsa Arab Jahiliah, perkembangan sastera menjadi sebahagian dari dunia mereka, yang sama sekali tidak boleh dipisahkan.

Tentu menjadi satu persoalan yang agak menarik, bagaimana bangsa Arab yang dikenali sebagai bangsa yang kasar, keras dan tidak bertolak ansur mampu untuk menghasilkan karya sastera yang dianggap bermutu tinggi dan masing-masing begitu berlumba-lumba untuk menghasilkan syair yang terbaik dan sentiasa diperkatakan orang.

Perkembangan sastera dengan kemunculan ramainya yang menghasilkan karya terutama syair, puisi sehinggalah pidato-pidato umum di zaman Jahiliah merupakan satu manifestasi apabila terdapatnya golongan masyarakat yang tidak bergiat secara aktif dalam perniagaan dan pertanian.

Malah menjadi seorang penyair juga boleh menjadi satu pendapatan di samping mendapat nama dan perhatian masyarakat.

Para sasterawan ini mempunyai hati yang lebih halus dan peka terhadap persekitaran dan ingin merakamkan semua persoalan, aktiviti dan apa juga perasaan yang lahir itu dalam bentuk kata-kata yang puitis dan syair.

Perkembangan sastera yang sangat mendapat tempat dalam masyarakat Arab Jahiliah membuktikan mereka sebenarnya bukan bodoh atau jahil dari aspek tidak tahu membaca dan menulis.

Menurut Philip K. Hitti dalam bukunya History of the Arab's, jahiliah masyarakat Arab di zaman sebelum kedatangan Islam, bermaksud bodoh atau jahil dari segi agama kerana pada ketika itu, tidak ada nadi dan tidak ada kitab suci yang boleh dijadikan sebagai petunjuk.

Mereka tidak boleh dianggap jahil atau bodoh dari segi ilmu pengetahuan kerana mereka telah mempunyai tamadun yang tinggi termasuk dalam bidang nusus al adabi atau kesusasteraan Arab ini.

Fakta yang lebih menarik apabila mereka mula pandai untuk menyusun perkataan-perkataan yang puitis apabila mendapat ilham dari hentakan kaki unta yang memberikan irama tertentu. Unta menjadi nukleus atau nadi utama kehidupan masyarakat Arab yang sering berpindah randah itu maka tidak menghairankan jika unta digelar bahtera padang pasir.

Satu-satunya bahtera yang mempunyai sifat sabar dan tabah apabila terpaksa menanggung beban yang berat dengan berjalan berhari-hari tanpa makan dan minum.

Pada zaman jahiliah, syair ghazal atau pujian terhadap wanita telah dipopularkan oleh Amru Qais. Bahasa yang digunakan mampu menghuraikan kecantikan seorang wanita sehingga kadangkala pembaca dapat menterjemahkan imaginasinya dalam bentuk konkrit.

Begitu juga tema-tema cinta, ratapan, pujaan dan sindiran turut menjadikan syair-syair Arab begitu kompleks dan menarik.

Selain terdapat juga syair hijak atau cacian yang menjadi punca tercetus api peperangan antara kabilah-kabilah yang berseteru. Syair jenis ini telah diharamkan pada awal kemunculan Islam.

Selain digantungkan pada dinding Kaabah, kebanyakan syair juga dipamer atau diperdengarkan di pasar-pasar terutama di musim haji dan perayaan-perayaan.

Oleh kerana kuatnya kuasa dari permainan bahasa dalam masyarakat Arab Jahiliah menyebabkan sebagai satu cara untuk memenangi semula jiwa yang kotor akibat penyembahan berhala perlu dibeli dengan sastera juga.

Maka Islam turun sebagai satu hasil sastera terbaik yang pernah ada di muka bumi ini. Iaitu dengan turunnya ayat-ayat suci al-Quran. Hanya melalui ayat-ayat juga yang diharapkan dapat menambat dan memikat semula hati dan menandingi para sasterawan Arab itu.

Disebabkan al-Quran merupakan satu gaya bahasa yang sangat tinggi dan indah, Umar Al Khattab yang pernah membunuh anak perempuan dan terkenal hati yang keras akhirnya lembut dan cair mendengarkan bacaan al-Quran yang dilagukan oleh adik perempuannya, Habsah.

Demikian pentingnya sastera dalam masyarakat Arab kerana pelbagai kemuliaan diberikan kepada individu yang menggiatkan syair dan saling menunjukkan kehebatan antara satu sama lain. Apatah lagi jika dengan syair itu telah mengangkat martabat dan nama kaum dan kabilah yang diwakilinya.

Bak kata seorang orientalis, Profesor E. H Palmer sastera sememangnya telah kuat berakar umbi dan menjadi satu cara untuk masyarakat menjayakan peperangan sesama mereka selain beradu kekuatan dan menggunakan senjata.

it was not merely a passion, it was a necessity; for, as their own proverb has it, the records of the Arabs are the verses of their bards.

Namun keputeraan junjungan besar, Nabi Muhammad pada 12 Rabiulawal Tahun Gajah menyingkap satu tirai sejarah baru kepada dunia Arab.

Namun siapa yang meratap melalui puisi berikut selepas Nabi Muhammad selamat diputerakan ke dunia ini:

"Hilang sudah putera Hashim di Batha

Bertandang lahad yang jauh dalam ratap tangis Panggilan maut memanggil lantas disahutnya

Yang tidak meninggalkan seumpama putera Hashim di kalangan manusia

Petang hari mereka mengusung kerandanya

Oleh teman-teman yang berasak-asak

Jika benar kematian dan dukacita itu perampas dirinya

Namun dia tetap terpahat sebagai dermawan dan pengasih..."

BIDANG PENGAJIANKU (KESUSASTERAAN ARAB): Kesusasteraan Islam

Adab Islamiy (Kesusasteraan Islam) belum menjadi istilah yang mengalir dikalangan para sasterawan Arab pada zaman-zaman dahulu. Para pengkritik juga tidak menggunakan istilah ini dalam penilaian mereka terhadap suatu karya. Hal ini adalah kerana beberapa perkara. Antara perkara yang paling utama adalah istilah ini tidak menjadi keperluan pada zaman-zaman dahulu.

Bahasa Arab dan bangsa arab tidak dapat dipisahkan dari Islam. Bangsa Arab dan bahasanya adalah diantara bangsa dan bahasa yang paling lama dan masih kekal setelah banjir besar (taufan) yang berlaku pada zaman Nabi Nuh AS. Ia merupakan bahasa dan bangsa yang paling tua dalam sejarah manusia walaupun bukan yang paling popular dan paling gemilang. Ketuaan bahasa dan bangsa Arab ini membuatkan ramai yang keliru dan menganggap ia merupakan satu bangsa dan bahasa yang baru lahir ketika bermulanya sejarah Muhammad SAW Rasulullah di Mekah.

Kajian telah menemukan betapa bahasa Arab dan bangsanya telah ada begitu lama walau tidak banyak yang sampai kepada kita pada hari ini. Menyikapi hal ini, para ilmuan membahagikan tahapan bahasa Arab kepada dua, iaitu Arab Al-Baidah dan Arab Al-Baqiyah. Arab Al-Baidah tidak meninggalkan apa-apa warisan kepada kita melainkan apa yang telah dikisahkan Al-Quran. Ada peninggalan prasasti berupa pahatan namun sangat sedikit. Kaum yang paling popular dalam tahap ini adalah ‘Ad, Tsamud dan ‘Amaliqah.

Tahap berikutnya adalah Arab Al-Baqiah yang terbahagi kepada dua iaitu Keturunan Qahtaniyyah yang telah meninggalkan Iraq dan menuju ke Yaman. Kaum kedua adalah ‘Adnaniyyah yang merupakan keturunan Ismail Bin Ibrahim AS. Mereka tinggal dikawasan Jurhum di Mekah hinggalah ke Yaman.

Apa yang menarik adalah bahasa Arab ketika itu memiliki banyak perbezaan dari lahjah dan tulisan. Perbezaan berlaku antara bahasa Arab Qahtaniyyah dan bahasa Arab ‘Adnaniyyah. Masing-masing dari Qahtan dan Adnan mempunyai pecahan kaum yang sangat banyak dan setiap pecahan mempunyai lahjah dan tulisan mereka tersendiri. Mereka yang tidak mengetahui hakikat ini akan mengira bahawa masing-masing kaum menggunakan bahasa mereka walhal mereka masih lagi menggunakan bahasa Arab. Hal ini terbukti bilamana setiap kaum yang perbezaan lahjah mereka umpama langit dan bumi tidak memerlukan penterjemah ketika berkomunikasi secara langsung.

Allah SWT kemudian memelihara dan mempersiapkan Si kecil Muhammad SAW yang akan membawa risalah terbesar. Pernah suatu ketika Saidina Ali berkata, “Aku mendengar kata-kata dari kamu yang tidak pernah aku dengari padahal kita tinggal di tempat yang sama dan membesar bersama-sama?” Saidina Ali mempertanyakan bahasa-bahasa yang fasih dan hebat yang mengalir dari mulut Baginda SAW. Siapa yang mengajar Baginda SAW padahal mereka sama-sama berada di bani Saad yang berada jauh dari kota. Rasulullah SAW menjawab, “Addabani rabbi faahsana ta’dibi.. (Aku telah diajar oleh Tuhanku dengan pengajaran yang sebaik-baik)” Lahirlah seorang yang paling fasih dikalangan Arab. Kata-kata paling jelas (abyan) dan paling tepat (ablagh). Bagindalah yang telah dikaruniakan kepadanya jawami’ul kalim. Allah SWT berfirman, “Wama arsalna min rasulin illa bilisani qaumihi liyubayyina lahum (Dan tidak kami utuskan dari rasul melainkan dengan lidah -bahasa- kaumnya bagi menerangkan kepada mereka -agama dll-)” [Surah Ibrahim : 4] Maka sudah selayaknya Muhammad SAW selaku imam dan penutup para Rasul menjadi seorang yang paling jelas tutur kata dan bahasanya.

Kehadiran Muhammad Rasulullah SAW di dalam komuniti bangsa Arab telah membawa kesan yang amat sangat besar kepada bangsa Arab dan bahasanya. Keindahan bahasanya yang diiringi keperibadiannya yang mulia menyebabkan dia menerima anugerah agung berupa gelaran Al-Amin. Tiba masanya, Baginda diamanahkan pula membawa risalah Al-Quran yang merupakan tempayan yang menyimpan agama, hukum, hikmah, ilmu, sejarah dan sebagainya.

Al-Quran dan Rasulullah mempunyai pengaruh yang Maha dahsyat kepada bangsa Arab dan bahasanya. Pengaruh yang bukan hanya mengubah bahasa bahkan mengubah bangsa. Mengubah sikap dan tingkah laku. Mengubah cara berfikir dan cara bekerja. Mengubah gaya dan matlamat hidup. Mengubah segala-galanya. Perubahan yang paling dahsyat yang terjadi adalah lahirnya satu-satunya tamadun gergasi dunia yang berasaskan agama.

Bangsa Arab yang terpecah-pecah politik dan gaya bahasanya kini bersatu dalam satu bahasa rasmi iaitu Quraisy. Pengaruh Islam kepada kesusasteraan Arab juga tidak terkecuali. Secara garis besarnya perubahan yang paling menonjol yang berlaku adalah sebagai berikut :

1. Perubahan pada lafaz dan struktur ayat.

2. Perubahan pada makna yang disampaikan.

3. Perubahan pada topik yang dibincangkan.

Para penyair yang merupakan lambang dan kayu ukur tahap kesusasteraan bangsa Arab berpaling arah. Mereka meninggalkan syair-syair yang mengagung-agung nasab mereka, syair-syair yang menyulut api permusuhan, syair-syair tentang wanita kepada syair-syair yang tinggi nilainya. Bahkan tidak sedikit penyair yang meninggalkan syair secara keseluruhan seperti Labid bin Rabiah (seorang penyair mu’allaqah-Mu’allaqah adalah karya-karya pilihan yang lulus penilaian komuniti penyair di pasar dan karya yang lulus itu mendapat penghormatan ditempelkan di Ka’bah-). Labid hanya mengatakan satu bait sahaja setelah keislamannya iaitu, “Alhamdulillahillazi lam yu’tini ajla hatta labistu minal islami sarbala”

Hal yang hampir serupa berlaku kepada ‘Umar ketika ditanya akan syair yang baru setelah keislamannya, beliau menjawab, “Allah telah menggantikan syair dengan Al-Baqarah dan Ali Imran.

Keadaan ini membuatkan sebahagian pengkaji menyangka bahawa Islam telah menyebabkan kemunduran dan kesan negetif bagi perkembangan sastera di zaman ini. Sangkaan ini telah diutarakan oleh ramai pihak antaranya Ibnu Khaldun dalam karangan agungnya Muqaddimah. Penyataan Ibnu Khaldun ini mungkin merujuk kepada apa yang dinyatakan Ibnussalam Al-Jumahi dalam karya agungnya Tabaqat As-Syu’ara’.

Kita mengakui perubahan yang berlaku pada masyarakat Arab secara umum dalam memberi tindak balas dengan kedatangan Islam. Namun untuk menilai dan melabelkan kemunduran dari sudut kesusasteraan dengan kedatangan Islam adalah satu hal yang berlebihan. Hal ini dapat dibuktikan dimana persaingan yang berlaku pada komuniti Arab ketika itu sangat sengit. Kita telah banyak mendengar bagaimana usaha kelompok Kuffar demi melawan Islam. Hal nyata yang dilakukan adalah umpama menium seruling, membuat bising, mengolok-olok dan macam-macam lagi demi mengalihkan tumpuan manusia yang sedang mendengar Al-Quran atau hadis Rasulullah. Bahkan, tidak jarang penyair-penyair kuffar hadir untuk duel dengan penyair-penyair muslim.

Pernah satu ketika datang kepada Rasulullah SAW kaum dari Bani Tamim pada tahun Fathu (Pembukaan Kota Mekah). Mereka masuk ke dalam masjid dan berseru, “Hai Muhammad keluarlah kepada kami dan kita saling bertarung!” Maka Rasulullah SAW melayani cabaran Bani Tamim tersebut. Bangunlah ‘Atharid Bin Hijab lalu memberikan khutbah. Lalu Rasulullah SAW menyuruh Tsabit Ibnu Qais membalas khutbah tersebut. Kemudian bangun pula penyair Bani Tamim bernama Zubraqan bin Badr. Antara yang dikatakannya, “Nahnul kiramu fala hayyun yu’adiluna minnal muluku wa fina tanshubul biya’u, wakam qasarna minal ahyai kulluhum ‘indannihabi wa fadhlul’izzi yattabi’u..” Lalu Rasulullah SAW memerintah Hassan Ibnu Tsabit untuk menjawab syair tersebut. Antara yang dikatakan, “Inkana finnasi sabiquna ba’dahum fakullu sabaqin liadna sabaqihim tabi’u, a’tu nabiyyal huda wal birru tho’atuhum fama wanna nashruhum ‘anhu wala naza’u akrim biqaumi rasulullahi syi’atuhum iza tafarraqatil ahwa u wassyiya’u.”

Peristiwa di atas jelas menunjukkan betapa sastera menjadi pedang tajam yang membantu masing-masing golongan muslim dan kuffar dalam mencari tempat di hati dan minda masyarakat. Kemampuan dan tahap kesusasteraan masyarakat Arab yang kemudian menjadi masyarakat muslim semakin hebat dengan kehadiran Islam. Hebat kerana terpengaruh dengan keindahan bahasa Al-Quran. Hebat kerana terpengaruh dengan makna dan topik yang diangkat Al-Quran. Al-Quran sejak itu dan hingga kini menjadi rujukan yang mengandung nilai kesusasteraan yang amat tinggi.

Pengaruh besar Al-Quran dan Islam kepada kesusasteraan Arab menjadikan kesusasteraan Arab berubah bentuk dan warna. Ia seakan-akan bayi yang baru lahir. Segar!

Kita melihat perkembangan ketika itu semakin pesat. Namun, ketika keadaan umat Islam berubah, agama mula menjadi warisan. Golongan sahabat dan tabiin serta tabiuttabiin semakin berkurang. Umat islam khususnya para sasterawan mula keluar dari nilai-nilai murni yang dijunjung dan dipelihara para sasterawan muslim di dalam karya mereka sebelum ini. Mulalah lahir generasi muslim akan tetapi tidak tegas dalam sikap dan tingkah lakunya. Keislamannya rosak dengan ancaman dan cabaran zaman mereka yang mula diserang pelbagai penyakit dunia. Para penyair khususnya mula menjadikan syair senjata demi memenangkan idea mereka. Seperti mu’aradah (duel) yang terjadi antara Jarir dan Farazdaq dalam mempertarungkan syair-syair fanatik kepuakan, perselisihan, fitnah dan kesesatan. Ada pula golongan penyair gazal yang melantunkan syair-syair picisan di tempat-tempat bersukaria. Bahkan golongan ini sampai di kota suci Mekah dan Madinah. Kita mendengar sebahagian nama-nama mereka seperti Thuwais, Saib Khatsir, Jamilah, Ahwash, ‘Urji dan ramai lagi. Kita bahkan menemukan penyair yang peribadi mereka membingungkan seperti Abu Nawas. Abu Nawas hanyut di dalam syair-syair khamar, junun dan wanita (mar’ah) tapi ketika dia insaf dia menulis syair zuhud dan kematian seperti syairnya, “Ilahi lastu lilfirdausi ahla wala aqwa alannaril jahim, fahabli taubatan waghfir zunubi fainnaka grafiruzzanbil azimi..”

Perubahan terus berlaku seiring dengan berjalannya waktu. Fikrah islamiyyah semakin mewarnai kesusasteraan Arab dan menjadi sebati walau penyakit-penyakit duniawi tidak berhenti merebak.

Tibalah kita di zaman moden melihat warna-warna baru dalam tubuh kesusasteraan Arab. Pengaruh aliran klasik, romantik, fan lil fan (seni untuk seni), syirul hur (syair bebas dari bahr-bahr adalah kerangka atau awzan dalam syair Arab) dan banyak lagi aliran lain. Tidak hanya itu lahir pula aliran-aliran pemikiran yang pelbagai yang menjadikan sastera ladang perjuangan. Aliran feminisme, liberal, marxis, pro-barat, modernis, sufi dan yang seumpamanya.

Tidak cukup dengan itu lahir pula di zaman kita hari ini usaha menghancurkan bahasa Arab menggunakan karya-karya sastera. Mereka gigih berusaha menjadikan bahasa Ammiyyah yang serba kekurangan dan murahan sebagai pengganti. Mereka rosakkan lagi dengan meninggalkan asas-asas dalam bahasa Arab dan kesusasteraannya. Mereka celarukan dan rojakkan bahasa dan menganugerahkannya sebagai karya maha dahsyat. Nilai-nilai dan norma-norma kesusasteraan dihancurkan. Mereka yang berkepentingan disebalik keadaan ini sedar bahawa ia akan memberikan kesan yang besar iaitu larinya masyarakat dari bahasa ibunda mereka iaitu Arab yang luhur. Ia merupakan satu-satunya penyebab yang dapat memisahkan antara masyarakat dengan Al-Quran. Bagaimana tidak padahal mengalir darah bahasa rosak dan rojak dalam diri masyarakat yang tidak memungkinkan mereka memahami Al-Quran!!

Melihat akan bahaya yang mengancam, para sasterawan muslim yang sedar berjuang untuk menyusun dan mendokumentasikan, nilai-nilai, asas-asas, ciri-ciri, warna dan bentuk kesusasteraan Islam yang kita kenal dengan Adab Islamiy. Mereka mula menyusun dan mengkategorikan karya-karya yang perlu dijadikan contoh teladan dan perangsang dalam berkarya.

Ia kemudian mula dipopularkan di majalah-majalah dan akhbar-akhbar. Para pelajar dan pengkaji mula menjadikannya sebagai mata pelajaran dan bahan kajian. Kesan dan pengaruhnya mula dirasakan masyarakat dan para sasterawan tentunya.

Adab Islamiy berjaya meletakkan petanda dan garis panduan yang membuatkan setiap individu bebas berkarya tanpa perlu keluar dari jalur yang ditetapkan syarak. Kaum kuffar dan musuh Islam sentiasa melaungkan dan memaksa manusia untuk mengakui bahawa disiplin yang ditentukan dalam kesusasteraan Islam sebagai penghambat dan penyebab ketidakberkembangnya sastera. Bahkan peningkatan dan perkembangan pada mereka hanya ketika manusia keluar dari disiplin yang ditentukan Islam. Hal ini terbukti bilamana karya yang menyesatkan milik Nagib Mahfuz memenangi anugerah nobel. Padahal karyanya itu jelas-jelas memusuhi agama, bangsa dan bahasa.

Kesusasteraan Islam sama sekali tidak menghambat apalagi mengongkong seseorang untuk bebas bekarya, Kerana sisi pandang umat Islam kepada bebas adalah berbeza. Bebas bukan bererti bebas seperti yang ditafsirkan barat dan kaum kuffar. Kebebasan manusia adalah tanggungjawab.

Bagi umat Islam Al-Quran telah menggarisbawahi dua golognan sasterawan. Allah SWT berfirman, “Wassyu’ara u yattabi’uhumul ghawun, alam tara annahum fi wadin yahimun, wa annahum yaquluna ma la yaf’alun, illallazina amanu wa ‘amilussholihati wa zakarullaha katsiran wantasharu mim ba’di ma zulimu wa saya’lamullazina zolamu ayya munqalabin yanqalibun.” Surah Asy-Syu’ara’ : 224-227

Al-Quran membahagikan penyair yang menjadi maskot kepada sasterawan kepada dua golongan. Golongan pertama, adalah mereka yang tidak memiliki dhowabit (prinsip atau garis panduan) dalam berkarya. Tidak ada ikatan dengan Islam. Maka mereka adalah golongan yang diikuti oleh orang-orang yang sesat dan rosak. Mereka mengatakan perkara-perkara yang tidak mereka lakukan.

Golongan kedua adalah mereka yang iltizam dengan prinsip dan garis panduan (dhawabit) yang dirumuskan dari syariat Islam. Mereka menggunakan sastera untuk memberikan jawapan dan penyelesaian bagi permasalahan-permasalahan semasa di zaman mereka. Iman, amal sholeh, mengingati Allah dan tidak berlaku zalim adalah keperibadian asas yang dimiliki golongan ini.

Demikianlah secara ringkas, kemunculan mata pelajaran atau ilmu atau bidang atau apalah namanya yang kita kenal dengan Adab Islamiy. Semoga para sasterawan kembali merujuk kepadanya dan menjadikannya panduan dalam menyemarakkan lagi dunia dengan karya-karya segar yang menjadi petunjuk dan bukan sebaliknya.

BIDANG PENGAJIANKU (KESUSASTERAAN ARAB): ULAMA NUSANTARA-Tulisan Ulama Melayu dalam Kesusasteraan Arab

Sheikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi

Ulama yang berasal dari Minangkabau ini, mengukir populariti tersendiri. Riwayatnya yang panjang dimulai di Mekah, Mesir, Minangkabau hingga akhirnya meninggal dunia di Semenanjung. Beliau adalah bapa Tan Sri Hamdan, iaitu bekas Ketua Negeri Pulau Pinang suatu masa dahulu.

Tidak banyak puisi beliau yang telah dijumpai baik dalam bahasa Arab atau pun bahasa Melayu. Berdasarkan maklumat yang ada, diketahui beliau berkemampuan menggubah puisi dalam bahasa Arab dan Melayu.

Di antara puisi Sheikh Tahir Jalaluddin Minangkabau dalam bahasa Melayu (22 bait) dan bahasa Arab (12 bait) yang dijumpai termaktub pada bahagian akhir kitab Al-Manhajul Masy-ru' karya Sheikh Ahmad Khatib bin Abdul Latif Minangkabau.

Haji Abdullah Fahim

Mufti Pulau Pinang ini adalah salah seorang ulama Semenanjung Melayu yang terkenal pada zamannya. Beliau adalah datuk kepada Perdana Menteri Malaysia kini iaitu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Puisi-puisinya yang ditulis dalam bahasa Arab disiarkan dalam beberapa buku karangan beberapa ulama atau tokoh Islam yang berasal dari bahagian utara pantai barat Semenanjung Melayu pada zaman silam.

Maklumat yang ada pada penulis diriwayatkan bahawa Haji Abdullah Fahim, Sheikh Muhammad Nur al-Fathani dan Tengku Muhammad Zuhdi al-Fathani. Ketiga-tiganya mendalami ilmu sastera Arab daripada Sheikh Ahmad al-Fathani. Daripada sekian ramai murid Sheikh Ahmad al-Fathani, dikatakan bahawa mereka bertiga adalah yang paling berbakat dan paling mahir ilmu sastera Arab.

Sheikh Wan Ibrahim al-Fathani al-Qadhi

Dua orang anak Sheikh Abdul Qadir Bendang Daya al-Fathani cukup masyhur bagi masyarakat Melayu, baik di Mekah mahupun seluruh dunia Melayu.

Kedua-dua beliau ialah Sheikh Wan Ismail al-Fathani atau lebih dikenal dengan sebutan Pak De El al-Fathani. Adik beliau ialah Sheikh Wan Ibrahim al-Fathani atau lebih dikenali dengan sebutan Pak Cu Him Gajah Mati.

Sungguhpun Pak De El al-Fathani seorang ulama besar, namun puisinya dalam bahasa Arab ataupun Melayu tidaklah begitu banyak jika dibandingkan dengan adiknya, Pak Cu Him Gajah Mati. Kedua adik-beradik itu adalah sepupu Sheikh Ahmad al-Fathani.

Kepakaran Pak Cu Him menggubah syair dalam bahasa Arab sangat dikagumi sesama golongan ulama di Kedah pada zamannya. Ini kerana beliau boleh mencipta sesuatu syair Arab sambil duduk dalam kereta tanpa menggunakan waktu yang panjang atau lama untuk berfikir.

Menurut riwayat bahawa pada zaman itu memang tidak ditemui ulama di Semenanjung Melayu dan Patani yang berkebolehan menggubah syair Arab dengan cara itu. Tetapi yang berkemampuan berbuat demikian untuk syair bahasa Melayu di Kedah terdapat seorang ulama sahaja, beliau ialah Haji Abdur Rahman Merbok.

Beberapa syair/nazam Pak Cu Him yang sempat dicetak terdapat beberapa tempat, di antaranya ialah dalam karya Fathul Jalil wa Syifaul Ghalil yang diselit-selitkan di perantaraan kalimat-kalimat biasa.

Dalam sebuah risalah judul Riyadhul 'Abidin karya muridnya Haji Wan Muhammad Yusuf ibnu Wan Husein al-Fathani, terdapat 15 bait syair Pak Cu Him pada halaman terakhir. Seberkas tulisan tangan (makhthuthat) Pak Cu Him yang berupa syair-syair Arab dapat dikumpulkan dan menjadi koleksi simpanan penulis.

Sebagai bukti beliau memang sangat tabahhur menggubah syair Arab, bahawa terjadi dalam keadaan sakit (berada di hospital) menjelang kewafatan beliau masih sempat menggubah syair berupa wasiat. Syair wasiat itu diserahkan kepada muridnya Haji Hasan Sik. Waris Haji Hasan Sik, lalu beliau menyerahkan pula syair wasiat itu kepada seorang anak Pak Cu Him bernama Wan Salehuddin dan penulis sekitar tahun 1990.

Sheikh Utsman Jalaluddin al-Kalantani

Terdapat beberapa orang murid daripada sekian ramai murid Tok Kenali yang terkenal dan paling menonjol dalam kecemerlangan ilmu pengetahuan, termasuk salah seorang ialah Sheikh Utsman Jalaluddin.

Sheikh Utsman Jalaluddin mempunyai wawasan dan karakter perjuangan keilmuan tersendiri, selain membuka pengajian pondok di Penanti. Beliau juga menghasilkan karangan dengan model dan gaya cipta tersendiri.

Puisi-puisinya disiarkan pada halaman-halaman muka karyanya, ialah; 7 bait pada Mathali'ul Anwar wa Majami'ul Azhar, juzuk yang pertama. Pada karyanya Anwarul Huda wa Amtharun Nada, juzuk yang pertama terdapat tiga jenis puisi. Yang pertama terdiri daripada 4 bait, sesudah itu diceraikan dengan kalimat-kalimat bahasa Melayu terdapat 7 bait, pada halaman 2 hingga 3 terdapat puisi yang panjang terdiri daripada 29 bait. Puisi yang 7 bait dan 29 bait selain teks Arabnya diterjemahkan juga oleh Sheikh Utsman Jalaluddin sendiri.

Pada karyanya berjudul Asy-Syarhul Kabir, terdapat puisi-puisi 10 bait pada halaman depan, disambung dengan 8 bait, dan 3 bait pada halaman terakhir. Karya ini diselesaikan pada Sabtu, 16 Syaaban 1358 H/30 September 1939 M.

Memperhatikan perkara-perkara tersebut, dapat diambil kesimpulan bahawa Sheikh Utsman Jalaluddin berusaha memperkenalkan kesusasteraan Arab melalui karya-karyanya itu kepada masyarakat Melayu.

Kesusasteraan Arab dunia Melayu moden

Semua ulama yang penulis sebutkan di atas dan sebelumnya adalah dianggap sebagai ulama tradisional dunia Melayu, jika mereka melakukan penulisan dalam bahasa Melayu menggunakan tulisan Melayu/Jawi.

Pada waktu menjelang kemerdekaan Indonesia, penulisan Islam mulai bertukar dengan bentuk latin/rumi, yang disebut sebagai zaman moden. Ini kerana sistem pendidikan mulai berubah, maka hafalan kalimat-kalimat Arab berbentuk nazam atau syair mulai menurun.

Jika kita bandingkan dengan zaman tradisional, semua pengetahuan agama Islam adalah dihafal dalam bentuk matan. Matan-matan tersebut hampir semuanya dalam bentuk nazam atau syair. Setiap matan terdiri dari beratus-ratus bait, hingga 1,000 bait, bahkan ada yang lebih panjang daripada itu.

Sistem pengajian moden tidak menekankan hafalan matan seperti zaman tradisional seperti yang dialami oleh ulama-ulama dunia Melayu yang tersebut.

Oleh itu mahu tidak mahu kita mengakui bahawa ilmu kesusasteraan Arab turun menjunam, hampir-hampir tidak dikenali lagi oleh pelajar-pelajar Islam yang memasuki pendidikan Islam secara moden.

Baik di Indonesia mahupun Malaysia, tidak banyak buku yang dihasilkan yang khusus membahas kesusasteraan Arab dalam bentuk tulisan Latin/Rumi jika kita bandingkan dengan bentuk tulisan Melayu/Jawi. Namun sebagai pelengkap beberapa buah buku kesusasteraan Arab yang ditulis dalam tulisan Latin/Rumi, penulis singgung juga di sini, ialah:

Dr. Moh. Tolchah Mansoer, S.H

Tokoh terpelajar yang mendapat pendidikan sepadu tradisional dan moden ini dulunya adalah seorang pensyarah universiti di Jawa Tengah, Indonesia.

Beliau menghasilkan banyak karya, mengenai sastera Arab ialah: Sajak-sajak Burdah Al-Imam Muchammad Al-Bushiriy. Menurut penelitian penulis, buku tersebut adalah yang pertama membicarakan Burdah al-Bushiri dalam bahasa Melayu/Indonesia yang terlengkap, terjemahan dari Arab ke Melayu/Indonesia, membahas pelbagai aspek secara ilmiah akademik dalam konteks gabungan antara dunia klasik dan moden dan lain-lain.

Bahkan penulis berpendapat ia merupakan buku pertama seumpamanya yang ditulis dalam bahasa Indonesia.

Perlu dicatatkan di sini bahawa karya Burdah al-Bushiri ini bukan bererti yang pertama diperkenalkan dalam bahasa Melayu, kerana jauh sebelum ini diperkenalkan oleh ulama tradisional, iaitu Sheikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani dengan judul Majmu'ul Qashaid wal 'Awaid (1320 H/1902 M).

Prof. Madya Osman Bin Haji Khalid

Pada masa penulis sedang kebingungan mencari buku kesusasteraan Arab dalam bahasa Melayu moden setelah karya Dr. Moh. Tolchah Mansoer, S.H tersebut di atas, tiba-tiba di sebuah kedai buku di Alor Setar, Kedah sekitar tahun 1989 penulis hanya menjumpai sebuah buku judul Kajian Teks Pilihan Kesusasteraan Arab oleh Osman Bin Haji Khalid.

Buku tersebut bukan berupa cetakan tetapi berupa salinan fotokopi, walaupun di bawahnya terdapat nama Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia. Buku tersebut diselesaikan di Kampung Teras Jernang Kajang, Selangor, Rabiulawal 1408 H/November 1987 M.

Bagi penulis, buku yang dihasilkan oleh Ustaz Prof. Madya Osman bin Haji Khalid yang penulis miliki itu tidak kalah pentingnya dengan buku Dr. Moh. Tolchah Mansoer, S.H tersebut.

Setelah penulis semak, mukadimah buku Ustaz Prof. Madya Osman Bin Khalid ternyata beliau telah menghasilkan beberapa buah buku lain mengenai kesusasteraan Arab, ialah: Kesusasteraan Arab Dalam Zaman Permulaan Islam dan Kesusasteraan Arab Di Zaman Abbasiah, Andalus dan Zaman Moden.

Prof. Dr. Haji Muhammad Bukhari Lubis

Karya beliau lebih dulu penulis kenal sekitar tahun 1988 daripada jati dirinya. Karya yang dimaksudkan ialah Pujangga Arab, cetakan pertama oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, 1987.

Sepatah kata ditulis pada November 1982 M/Safar 1403 H. Empat tahun setelah buku tersebut penulis miliki (1991), tiba-tiba penulis berjumpa beliau membawa buku penulis berjudul Khazanah Karya di Perpustakaan Negara Malaysia.

Mulai saat itu, terjalin kemesraan dengan beliau kerana sering bertemu dalam pelbagai seminar yang diadakan di Kuala Lumpur dan tempat-tempat lainnya. Sebuah lagi buku sastera Arab karya beliau ialah Pancasuara: Himpunan Sajak Arab Klasik dan Moden (Ramadan 1401 H/Julai 1981 M).

Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam M.A

Pada 1989, Persatuan Ulama Kedah meminta penulis membentang kertas kerja mengenai susur galur ulama Banjar dengan Kedah. Ketika itu juga penulis mulai berkenalan dengan Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam.

Beliau mengemukakan kekagumannya terhadap sebuah puisi gubahan Sheikh Ahmad al-Fathani yang termaktub pada kitab Sabilul Muhtadin karya Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari. Secara diam-diam beliau telah menterjemah puisi Sheikh Ahmad al-Fathani itu.

Penghujung tahun 1993, Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam juga pernah diminta membentang kertas kerja dalam Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Islam Sedunia di Bangladesh.

Beliau menulis kertas kerja dalam bahasa Arab dengan memperkenalkan dua puisi Sheikh Ahmad al-Fathani, iaitu puisi Sheikh Ahmad al-Fathani ketika belajar di Mesir dan puisi yang ditujukan kepada Sultan Zainal Abidin III, Terengganu.

Puisi-puisi tersebut telah diterjemahkan oleh Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam ke dalam bahasa Melayu, selain puisi Sheikh Ahmad al-Fathani yang termaktub dalam karya Sheikh Nawawi al-Bantani. Beliau yang berasal dari Banjar itu memperoleh pengajian sastera Arab ialah di Nadwah, India.

PENUTUP

Penulis berkesimpulan bahawa di tengah-tengah kelangkaan ilmu balaghah (retorika) dalam masyarakat Melayu masa kini, secara nyata ataupun tersorok-sorok barangkali masih ada ahli atau pakarnya.

Penulis berpendapat bahawa ilmu yang dipusakai dari zaman pengajian Islam tradisional itu tidak akan pupus hingga zaman moden ini apabila beberapa tokoh yang memahami ilmu tersebut berjuang bersungguh-sungguh menghidupkannya.

Oleh itu, kita mesti tambah giat mengumpulkan tenaga pakar untuk menghidupkannya supaya ilmu yang masih tersorok dan diketepikan menjadi bertambah jelas demi memperlihatkan ketinggian dan keagungan ilmu pengetahuan Islam.

Friday, October 23, 2009

Kepentingan Ilmu Pengetahuan dan Sumbernya Menurut ISLAM

1. Definisi Ilmu Pengetahuan

Perkataan ilmu dari sudut bahasanya adalah berasal daripada perkataan arab iaitu calima, yang bererti mengetahui atau perbuatan yang bertujuan untuk mengetahui tentang sesuatu dengan sebenarnya. Sementara ilmu dari segi istilah memberi erti tentang segala pengetahuan atau kebenaran tentang sesuatu yang datang dari Allah s.w.t yang diturunkan kepada rasul-rasulnya dan alam ciptaannya termasuk manusia yang memiliki aspek lahiriah dan batiniah.

Secara umumnya, ilmu didefinisikan sebagai pengetahuan dan kepandaian tentang sesuatu bidang yang disusun secara bersistem menurut kaedah dan metod tertentu yang dapat digunakan untuk menerangkan sesuatu yang berkait dengan bidang ilmu tersebut. Ilmu pengetahuan pada lazimnya terdapat dalam dua bentuk iaitu ilmu pengetahuan nyata (explicit
knowledge) dan ilmu pengetahuan tidak nyata (tacit knowledge). Ilmu pengetahuan nyata boleh didapati kebanyakannya dalam bentuk dokumen bercetak manakala ilmu pengetahuan tidak nyata pula terdapat dalam idea, minda, amalan harian, pengalaman, memori dan seumpamanya yang kebiasaannya sukar dilihat dengan mata kasar. (Noraziah Sharuddi, 2002)

Dalam zaman moden ini pengertian ilmu telah disempitkan dan dimodenkan kepada pengetahuan maklumat dan kemahiran sahaja. Dalam pengertian barat moden, ilmu hanyalah merujuk kepada pengenalan atau persepsi yang jelas tentang fakta. Fakta pula merujuk kepada perkara-perkara yang boleh ditanggapi oleh pancaindera zahir dan bersifat empiris. Kewujudan perkara lain di luar keupayaan pancaindera tersebut dianggap bukan fakta dan tidak termasuk dalam bidang ilmu. Mengikut pandangan mereka secara automatik ajaran agama terkeluar daripada takrif dan ruang lingkup ilmu dan dianggap sebagai kepercayaan semata-mata.
Islam telah menghimpun antara agama dan ilmu. Tidak ada sebarang penentangan antara agama dan ilmu kerana dalam Islam, agama itu sendiri adalah ilmu dan ilmu adalah agama. Ilmu menurut perspektif Islam dikenali sebagai sifat, proses dan hasil. Manakala istilah ilmu dalam Islam merangkumi pelbagai perkara iaitu al-Quran, syariah, sunnah, iman, ilmu kerohanian, hikmah, makrifat, pemikiran, sains dan pendidikan.

2. Kepentingan Ilmu Pengetahuan

Ilmu merupakan suatu perkara yang penting dalam kehidupan manusia. Perkembangan dan kemajuan sesuatu bangsa di dunia ini berkait rapat dengan kemajuan dan perkembangan ilmu pengetahuan yang terdapat pada sesuatu bangsa itu sendiri. Justeru, Islam mengingatkan tentang hakikat ini menerusi pelbagai ayat al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w. Penekanan terhadap kepentingan dan keperluan menuntut ilmu membuktikan bahawa Islam adalah satu agama yang memartabatkan ilmu pengetahuan dan orang yang berilmu. Baginda Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya; “Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas tiap-tiap orang Islam lelaki dan perempuan.” Berdasarkan hadis tersebut, jelas bahawa menuntut ilmu itu adalah suatu perkara yang penting dan menjadi kewajipan bagi setiap orang Islam. Antara kepentingan ilmu pengetahuan ialah;

2.1 Kedudukan serta martabat orang yang berilmu diangkat dan diletakkan ditempat yang lebih tinggi. Dengan erti kata lain, ilmu dapat mengangkat darjat seseorang kepada darjat yang tinggi di sisi Allah dan masyarakat. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Mujadalah, ayat 11 ;
يرفع الله الذين ءامنوا منكم والذين أوتوا العلم درجت. والله بما تعملون خبير
Maksudnya; "Allah mengangkat beberapa darjat orang-orang yang beriman dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan"

2.2 Ilmu dapat meninggikan dan membezakan taraf di kalangan manusia. Firman Allah dalam surah al-Zumar, ayat 9 ;
قل هل يستوي الذين يعلمون والذين لا يعلمون. انما يتذكر أولولوا الألبب
Maksudnya; “Katakanlah adakah sama orang-orang berilmu dengan orang yang tidak berilmu? Sesungguhnya mereka yang mendapat peringatan dan petunjuk hanyalah di kalangan hambanya yang berilmu dan bijaksana"

2.3 Ilmu dapat membentuk keperibadian yang baik dan menjadikan seseorang itu bertaqwa dan cintakan Allah s.w.t dan RasulNya. Firman Allah dalam surah al-Fathir, ayat 28 ;
انما يخشى الله من عباده العلمؤا
Maksudnya ; “Sesungguhnya yang takutkan Allah daripada hambanya ialah orang-orang yang berilmu”

2.4 Ilmu pengetahuan akan membawa manusia ke arah kebahagian hidup di dunia dan di akhirat, memberikan kekuatan ketika dalam kesusahan dan ketika berhadapan dengan musuh.

2.5 Dengan ilmu manusia dapat menjalankan ibadah dengan sempurna, samada ibadah umum atau ibadah khusus dan dapat melaksanakan peranan sebagai khalifah Allah di muka bumi dengan sebaiknya.

2.6 Ilmu agama atau ilmu yang terdapat dalam al-Quran dan Al-sunnah akan menjadi benteng yang dapat mencegah seseorang itu dari melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syariat, dapat menolak kejahilan dan kebodohan sama ada dalam perkara agama atau dalam mengejar kebendaan duniawi.

2.7 Pelbagai jenis ilmu keduniaan seperti ilmu kejuruteraan, ilmu kedoktoran, ilmu pertanian dan sebagainya dapat membantu kemaslahatan hidup manusia di dunia.

2.8 Ilmu adalah salah satu langkah bagi menjana pembangunan negara kerana melalui ilmu sahajalah yang dapat membezakan antara yang hak dan yang batil.

3. Sumber-sumber Ilmu Pengetahuan

Secara umumnya, sumber ilmu pengetahuan adalah diperolehi melalui wahyu, pancaindera, akal dan intuisi atau ilham.

1. Wahyu

Wahyu adalah pemberitahuan daripada Allah s.w.t kepada seorang hambanya yang dipilih di kalangan hambanya dengan secara sulit dan rahsia berlainan dari apa yang dialami oleh manusia biasa. Tidak dapat dinafikan lagi wahyu adalah merupakan sumber pengetahuan yang terpenting yang telah disampaikan oleh Allah s.w.t kepada manusia sama ada ianya disampaikan melalui Nabi Muhammad s.a.w atau melalui nabi-nabi yang terdahulu. Wahyu merupakan teras kepada segala ilmu kerana di dalam al-Quran terkandung pelbagai jenis ilmu pengetahuan yang amat diperlukan oleh manusia untuk kemasalahatan hidup juga perkara-perkara ghaib yang tidak dapat dijangkau oleh akal pemikiran manusia.

2. Pancaindera

Semua pancaindera seperti sentuhan, ciuman, penglihatan, pendengaran dan deria rasa merupakan seumber pengetahuan yang utama dan amat berguna bagi manusia untuk berinteraksi dengan alam sekelilingnya dengan mudah dan betul. Kelima-lima pancaindera ini merupakan satu cara untuk mendapatkan ilmu pengetahuan melalui beberapa percubaan dan pengalaman yang berulang-ulang. Bagaimanapun kebenaran yang diperolehi tidak semestinya selalu betul dan tepat. Pancaindera kadangkala di dalam keadaan tertentu gagal memberikan gambaran atau penglihatan umpamanya matahari kelihatan kecil oleh mata sedangkan kenyataannya adalah sebaliknya.

3. Akal

Akal adalah merupakan sumber utama pengetahuan manusia, malah perbezaan antara manusia dan haiwan adalah melalui hasil tamadun yang diusahakan oleh manusia berpunca dari pemikiran akal manusia yang kreatif. Dengan akal manusia dapat menimbang dan membezakan antara yang baik dan buruk, walaupun mungkin ianya tidak bersifat kebenaran secara mutlak namun ianya memadai untuk mengatasi masalah kehidupan seharian. Bagaimanapun Allah s.w.t menyuruh manusia menggunakan semaksima mungkin kedua-dua daya akal dan pancaindera yang dianugerahkan kepadanya agar dapat sampai kepada pengetahuan sahih dan kebenaran yang tidak menyesatkan. Al-Quran banyak menyebut seruan serta galakan daripada Allah s.w.t agar manusia dapat memerhatikan alam sekeliling mereka dengan akal dan pancaindera bagi mencari kebenaran yang hakiki.

4. Intuisi atau Ilham

Intuisi atau ilham juga boleh menjadi sumber pengetahuan manusia yang amat berguna. Ianya merupakan pengetahuan yang diperolehi tanpa melalui proses pemikiran yang tertentu. Contohnya seseorang yang mempunyai masalah yang sedang menumpukan pemikiran nya terhadap penyelesaian masalah tersebut, tiba-tiba menjadi jalan penyelesaian tanpa perlu berfikir panjang seolah-olah kebenaran yang dicari datang sendiri. Dalam Islam ilham ini boleh dikenali dengan istilah "firasat" atau pun pandangan bashirah (tembus) yang dikurniakan oleh Allah kepada para Ulama.

Walaupun begitu, ada juga di kalangan sarjana yang berpendapat bahawa sumber ilmu itu datangnya juga daripada sumber lisan dan tulisan serta kajian sejarah. Ilmu yang diperolehi melalui sumber lisan wujud dalam sistem pendidikan secara tidak formal seperti ilmu pertukangan dan sebagainya yang diperolehi melalui warisan secara tidak langsung daripada keluarga atau masyarakat. Pengajaran-pengajaran secara lisan daripada tokoh-tokoh ilmu juga dianggap sebagai sumber lisan. Ilmu yang sumbernya dari tulisan dapat dilihat melalui ilmu perubatan, matematik, dan undang-undang. Sementara ilmu yang diperolehi daripada kajian sejarah pula dapat dilihat melalui kajian-kajian dan penulisan-penulisan yang khusus tentang peristiwa sejarah yang telah berlaku.

Pentingnya Menjaga Hubungan Baik Dengan Ibu Bapa



Ibu bapa adalah insan yang banyak berusaha dan tiada ternilai korban jasa mereka terhadap anak-anak. Pengorbanan yang diberikan oleh ibu bapa kepada anak-anak adalah tidak terbatas hinggakan sanggup memerah keringat, berkorban harta benda dan segala-galanya malah hinggakan nyawa sekalipun asalkan kedua-dua mereka dapat menyara kehidupan untuk membahagiakan, menyenangkan dan menjayakan anak-anak mereka.

Sehubungan dengan itu, setiap anak wajiblah berlaku taat kepada kedua-dua ibu bapa mereka ketika mereka masih hidup mahupun setelah mereka tiada (meninggal dunia). Hubungan di antara anak dengan ibu bapa 'ibaratkan isi dan kuku' yang menyatu rapat hinggakan bila berpisah terasa sakitnya. Oleh sebab itu, dalam menjalani kehidupan di dunia ini menjaga hubungan baik dan mesra dengan ibu bapa adalah suatu kewajipan kerana ianya akan dapat menentukan keharmonian dan kesempurnaan hubungan di antara kedua-dua pihak (ibu bapa dan anak). Di dalam perkara ini, ada dijelaskan dalam firman Allah subhanahu wata'ala dalam surah al-Israa' ayat 23 - 24 yang bermaksud:

"Dan Tuhanmu telah perintahkan, kepada engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah mereka, dengan berkata "Wahai Tuhanku! cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."

Jelaslah bahawa mentaati kedua-dua ibu bapa termasuk sebagai perintah yang utama dan dilarang bagi setiap anak mencaci, mengherdik dan melaknat kepada kedua-dua ibu bapa mereka kerana perbuatan tersebut adalah di antara sebesar-besar dosa besar. Berhubung dengan masalah inilah Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam menjelaskan dan menekankan dalam hadis baginda yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud:

"Sesungguhnya di antara sebesar-besar dosa besar, ialah seseorang melaknat orang tuanya sendiri kemudian para sahabat merasa hairan, bagaimana mungkin seorang yang berakal dan beriman akan melaknat orang tuanya, padahal mereka adalah penyebab hidupnya. Kemudian mereka itu bertanya… bagaimana boleh jadi seseorang akan melaknat dua orang tuanya? Maka jawab Nabi … iaitu dia mencaci ayah orang lain kemudian orang tersebut mencaci ayahnya dan ia mencaci ibu orang lain, kemudian orang tersebut mencaci ibunya."

Jelas dari maksud hadis terebut nyatalah betapa besar dan tingginya kedudukan, kemuliaan dan berkatnya kedua-dua ibu bapa dan ini menguatkan untuk menjadi kemestian setiap anak wajib berlaku taat kepada kedua-dua ibu bapa mereka di jalan yang diredai oleh Allah Subhanahu Wata'ala.

Dari itu setiap anak hendaklah prihatin dan terus-meneruslah berusaha mengukuhkan tali silaturahim dengan ibu bapa sepanjang hayat meskipun si anak telah berumah tangga supaya keintiman dan kemesraan antara kedua-dua belah pihak terus meningkat. Bila ini dapat di- capai kewajipan yang terbeban itu akan tertunai. Dengan itu hubungan berkeluarga akan sentiasa terjaga dan tidak akan mungkin timbul sebarang masalah malah kita terhindar daripada bahayanya berlaku perbalahan antara ibu bapa dengan anak. Pentingnya perkara ini kita perlakukan demikian kerana ianya adalah suatu amanah yang akan dipertanggungjawabkan bukan hanya ketika hidup di dunia tetapi juga sampai di akhirat kelak. Hal ini lebih jelas lagi diterangkan betapa pentingnya menjaga hubungan yang baik dengan kedua-dua ibu bapa melalui firman Allah subhanahu wata'ala dalam surah al-Ahqaaf ayat 15 yang bermaksud:

"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya"

Maksud firman ini jelas bahawa isu ini merupakan perintah yang telah diwajibkan kepada kita sebagai manusia iaitu untuk melaksanakan ketaatan kepada kedua-dua ibu bapa, oleh itu wajiblah dipatuhi kerana ganjaran pahalanya akan kita terima kelak; hanya Allah subhanahu wata'ala sahaja Yang Maha Berkuasa memberi limpah kurniaan-Nya. Makanya buatlah bakti kepada kedua-dua ibu bapa dengan jujur dan ikhlas kerana Allah subhanahu wata'ala jua.