Sunday, May 8, 2011

MUSLIMAH SEJATI

Daripada Umm Salamah, isteri Nabi SAW, katanya(di dalam sebuah hadis yang panjang): Aku berkata, “Wahai Rasulullah! Adakah wanita di dunia lebih baik atau bidadari?” Baginda menjawab, “Wanita di dunia lebih baik daripada bidadari sebagaimana yang zahir lebih baik daripada yang batin.” Aku berkata, “Wahai Rasulullah! Bagaimanakah itu?” Baginda menjawab, “Dengan solat, puasa dan ibadat mereka kepada Allah, Allah akan memakaikan muka-muka mereka dengan cahaya dan jasad mereka dengan sutera yang berwarna putih,berpakaian hijau dan berperhiasan kuning….(hingga akhir hadis)” (riwayat al-Tabrani).

……………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………….

Seorang gadis kecil bertanya ayahnya, Ayah ceritakanlah padaku perihal muslimah sejati?” Si ayah pun menjawab, “Anakku,seorang muslimah sejati bukan dilihat dari kecantikan dan keayuan wajahnya semata-mata.Wajahnya hanyalah satu peranan yang amat kecil,tetapi muslimah sejati dilihat dari kecantikan dan ketulusan hatinya yang tersembunyi. Itulah yang terbaik”. Si ayah terus menyambung, “Muslimah sejati juga tidak dilihat dari bentuk tubuh badannya yang mempersona,tetapi dilihat dari sejauh mana ia menutupi bentuk tubuhnya yang mempersona itu”.

“Muslimah sejati bukanlah dilihat dari sebanyak mana kebaikan yang diberikannya ,tetapi dari keikhlasan ketika ia memberikan segala kebaikan itu.Muslimah sejati bukanlah dilihat dari seberapa indah lantunan suaranya tetapi dilihat dari apa yang sering mulutnya bicarakan.Muslimah sejati bukan dilihat dari keahliannya berbahasa,tetapi dilihat dari bagaimana caranya ia berbicara dan berhujah kebenaran”. Berdasarkan ayat 31,surah An Nurr,Abdullah Ibnu Abbas dan lain-lainya berpendapat, “Seseorang wanita islam hanya boleh mendedahkan wajah,dua tapak tangan dan cincinnya di hadapan lelaki yang bukan mahram”. (As syeikh said hawa di dalam kitabnya Al Asas fit Tasir).

“Janganlah perempuan -perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga menghairahkan orang yang ada perasaan dalam hatinya,tetapi ucapkanlah perkataan yang baik-baik”. (surah Al Ahzab:32). “Lantas apa lagi ayah?”sahut puteri kecil terus ingin tahu. “Ketahuilah muslimah sejati bukan dilihat dari keberaniannya dalam berpakaian grand tetapi dilihat dari sejauh mana ia berani mempertahankan kehormatannya melalui apa yang dipakainya. Muslimah sejati bukan dilihat dari kekhuwatirannya digoda orang di tepi jalanan tetapi dilihat dari kekhuwatirannya dirinyalah yang mengundang orang tergoda”.

“Muslimah sejati bukanlah dilihat dari seberapa banyak dan besarnya ujian yang ia jalani tetapi dilihat dari sejauh mana ia menghadapi ujian itu dengan penuh rasa redha dan kehambaan kepada TUHAN nya,dan ia sentiasa bersyukur dengan segala kurniaan yang diberi.Dan ingatlah anakku muslimah sejati bukan dilihat dari sifat mesranya dalam bergaul tetapi dilihat dari sejauh mana ia mampu menjaga kehormatan dirinya dalam bergaul”.

Setelah itu si anak bertanya, ”Siapakah yang memiliki criteria seperti itu ayah?Bolehkah saya menjadi sepertinya?mampu dan layakkah saya ayah?”.
Si ayah memberikan sebuah buku dan berkata,”Pelajarilah mereka!supaya kamu berjaya nanti.INSYA ALLAH kamu juga boleh menjadi muslimah sejati dan wanita yang solehah kelak,malah semua wanita boleh”. Si anak pun segera mengambil buku tersebut lalu terlihatlah sebaris perkataan berbunyi ISTERI RASULULLAH. – (Riwayat Imam Ahmad)

“Jika seseorang wanita menunaikan solat lima waktu, berpuasa sebulan Ramadan, memelihara kehormatannya, mentaati suaminya, nescaya dia dapat masuk ke mana-mana saja pintu syurga menurut kehendakinya.”

KEPENTINGAN MEMPELAJARI BAHASA ARAB DAN KEUNIKANNYA

Bahasa Arab begitu dekat di hati umat Melayu dan hampir 1,700 patah perkataan Arab telah diterimapakai di dalam bahasa Melayu sejak awal kedatangan Islam di dunia nusantara. Bahasa Arab sudah sebati dan menjadi darah daging umat Islam dulu, kini dan selamanya di mana hampir setiap hari mereka akan mendengar dan bertutur di dalam bahasa Arab tanpa disedari. Buktinya ialah setiap hari kita diwajibkan bersembahyang yang mana bacaan dan doa di dalamnya adalah di dalam bahasa Arab manakala kita juga akan mendengar laungan azan dan iqamat setiap kali tibanya waktu sembahyang yang juga di dalam bahasa Arab.

Lebih unik lagi bagi umat Islam, perkataan pertama yang didengar sejurus selepas dilahirkan ke dunia ialah azan dan iqamat yang menandakan kecintaan kita terhadap bahasa Arab telah diterap sejak masih bayi lagi. Kajian Syed Muhammad Naquib Al-Attas pada tahun 1984 mendapati bahawa selain perkataan Arab yang diserap ke dalam bahasa Melayu, tulisan Arab juga diambil secara keseluruhan dan dijadikan tulisan bahasa Melayu. Ketinggian dan keistimewaan bahasa ini telah diakui dan dibuktikan oleh pakar-pakar ilmu bahasa (linguisticans), pengkaji bahasa (philogist) dan perkamusan (lexicographer) Barat. Bahasa Arab dianggap sebagai bahasa yang telah lama mempengaruhi iklim bahasa dunia dan membantu kepada perkembangan tamadun manusia serta menjadi dinamo yang telah berjaya merubah dan membentuk keperibadian struktur sesebuah negara bangsa.

Kitab al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w untuk disampaikan kepada seluruh umat manusia juga adalah di dalam bahasa Arab dan seluruh umat Islam digalakkan membaca, memahami, menghafal, mengikuti segala ajaran dan melaksana serta menterjemahkan segala panduan di dalam kehidupan seharian. Membaca al-Quran seolah-olah kita sedang berdailog dan berkomunikasi dengan Allah s.w.t secara live, satu pengalaman yang amat unik dan perlu dijadikan amalan harian umat Islam. Realiti ini menjadikan bahasa Arab mampu melonjak corak dan tahap pemikiran manusia yang lebih holistik, komprehensif dan membentuk satu anjakan paradigma ke arah menjadi individu yang versatil dalam menangani suvival semasa umat Islam.

Dengan menguasai bahasa Arab juga akan memudahkan kita mendalami intipati dan pengertian al-Quran, hadis Rasulullah dan kitab-kitab muktabar para ulama silam yang kebanyakannya ditulis di dalam bahasa Arab. Kemahiran bahasa Arab juga membolehkan kita memahami maksud setiap bacaan di dalam sembahyang, doa-doa, wirid, zikir dan sebagainya di mana sebahagian besar umat Islam tidak tahu pengertiannya walaupun sudah berpuluh tahun mengamalnya hatta ada yang tidak tahu pengertian doa iftitah dan qunud yang dibaca setiap hari dalam sembahyang. Kejahilan dan kelemahan umat Islam mendalami bahasa Arab akan hanya mewujudkan sebuah masyarakat tidak kreatif, kurang dinamik dan pak turut yang hanya menuturkan sesuatu yang tidak difahami seumpama burung kakak tua yang bijak berbicara. Oleh yang demikian, umat Islam perlu mencari jalan memahami dan mendalami bahasa al-quran ini sebaik mungkin.

Bahasa Arab adalah bahasa umat Islam dan bahasa syurga. Dengan jumlah umat Islam yang kini mencecah 1.6 bilion orang di seluruh dunia, membuktikan bahasa ini diucapkan setiap hari di dalam amalan ritual dan muamalah umat Islam secara global. Kebolehan berbahasa Arab membolehkan kita berkomunikasi dengan saudara seislam di seluruh dunia terutamanya di negara-negara Arab dan dapat mengenali mereka secara lebih dekat serta mengikat silatulrahim sesama umat Islam. Dalam konteks dunia Melayu pula, bahasa Arab digunakan secara meluas sejak awal kedatangan Islam dan kemuncaknya ialah pada era kegemilangan Kerajaan Melaka sehinggalah ke hari ini di mana bahasa ini digunakan di dalam pelbagai aspek dari sudut ekonomi, sosial, politik, diplomatik hatta di dalam amalan mistik dan jampi serapah pun bahasa Arab banyak digunakan terutamanya di dalam perubatan tradisional dan alternatif.

Bahasa Arab juga mempunyai nilai komersial yang tinggi dan berdaya saing serta mampu menandingi bahasa dunia lain seperti bahasa Inggeris, Perancis, Rusia dan sebagainya. Nilai ekonomi yang terdapat pada bahasa Arab membolehkannya diiktiraf sebagai salah satu bahasa utama dan terpenting di dunia serta telah menarik ramai orang mempelajarinya. Bagi umat Islam, bahasa Arab adalah bahasa perpaduan dan penyatuan. Walaupun tidak semua negara Islam menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa rasmi, namun begitu bahasa Arab tetap memainkan peranan penting di dalam sistem pemerintahan negara dan struktur masyarakat terutamanya di kalangan negara anggota OIC. Melalui medium bahasa Arab juga negara Islam diseluruh dunia dapat mewujudkan kerjasama dan perkongsian ekonomi, teknologi, ketenteraan, pendidikan dan sebagainya secara yang lebih akomodatif dan progresif bagi mendepani segala anasir-anasir negatif yang boleh mengganggu-gugat kestabilan Islam.

Inisiatif kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pelajaran memperkenalkan program J-QAF iaitu sistem pendidikan jawi, al-Quran, bahasa Arab dan tulisan Jawi secara yang lebih efektif di sekolah-sekolah rendah mampu memperkasakan penguasaan dan kemahiran bahasa Arab di kalangan rakyat Malaysia, di samping program bahasa Arab yang turut disediakan di peringkat sekolah menengah dan yang lebih tinggi hampir semua institusi pengajian tinggi di seluruh negara adalah momentum positif kepada bahasa syurga ini. Pemikir Islam terkenal, Hassan al-Banna pernah berpesan di dalam wasiat sepuluhnya yang berbunyi " Berusahalah sedaya upaya untuk bertutur dalam bahasa Arab yang betul kerana bahasa Arab yang betul itu adalah satu-satunya syiar Islam".