Friday, January 15, 2010

BERKAHWIN KETIKA BELAJAR MELANGGAR ADAT?



Kahwin ketika menuntut melanggar adat ??? Sudah pasti persoalan ini mendapat pelbagai reaksi mahasiswa. Ia mengundang pelbagai saranan dan pendapat yang berbentuk pro dan kontra dari segenap lapisan penuntut. Sebelum kita pergi lebih jauh dalam meneroka tajuk yang diperbincangkan, terlebih dahulu perlu kita fahami dan dalami apakah adat dan adat yang bagaimanakah perlu untuk kita ikuti. Menurut kamus Al-Mu’jam Al-Arabi Al-Asasi adat secara ringkas ialah suatu amalan yang menjadi kebiasaan dan tidak perlu lagi difikirkan sebab musabbabnya serta diwarisi turun- temurun.
Dalam hal ini kita menghadapi persoalan adakah kita boleh membuat perhukuman semata-mata berdasarkan adat? Sayyid Qutub menjelaskan dalam tafsir zilal bahawa salah satu cabang syirik ialah membuat perhukuman berdasarkan arus u’ruf (adat kebiasaan) yang telah mendominasi sesebuah masyarakat.
Perkahwinan ketika menuntut yang menjadi perbahasan kita kali ini sebenarnya boleh dibahagikan kepada dua kategori, iaitu mahasiswa melangsungkan perkahwinan sama ada di Mesir ataupun di tanah air. Mungkin perbahasan lebih hangat ketika membincang persoalan perkahwinan yang dilangsungkan di perantauan berbanding di tanah air. Demikian juga dengan berkahwin ketika menuntut sama ada menuntut di dalam negara ataupun di luar negara. Perkahwinan yang berlangsung di tanah air setelah mendapat restu kedua orang tua ketika masih menuntut bukan menjadi topik yang perlu dicernakan di sini. Perbahasan kita berkisar dalam skop yang lebih khusus iaitu dalam konteks pengajianr.
Senario berkahwin ketika masih dalam tempoh pengajian sememangnya sudah menjadi trend bagi penuntut yang belajar di luar negara. Dan ini didorong oleh pelbagai faktor sama ada luaran mahupun dalaman. Menyentuh persoalan kahwin ketika menuntut adalah persoalan peribadi dan nas syara’ juga ada menyebut bahawa hukum berkahwin berbeza dari satu tahap kepada tahap yang lain mengikut keperluan masing-masing. Kita perlu melihat persoalan kahwin di dalam skop yang lebih luas dan menyingkap pelbagai sudut. Sebagai golongan agama yang berpengajian tinggi, serta mendalami hukum hakam, kita tidak begitu berminat untuk mempertahankan adat yang tidak ada kena mengena dengan syara’ sebaliknya hanya adat yang bersandarkan syara’ yang perlu kita pertahankan.
Penuntut-penuntut yang berada di dalam negara dan penuntut yang belajar di luar negara sudah pasti keperluan masing masing berbeza. Terutama bagi golongan wanita yang memerlukan perlindungan dan sokongan. Lebih-lebih lagi pada saat umur sudah meningkat, apakah yang lebih diutamakan, adakah masih mahu mempertahankan adat yang tak tahu hujung pangkal. Jika sudah cukup keperluan di segi kewangan serta mendapat keizinan kedua orang tua, eloklah disegerakan. Golongan wanita yang berjauhan dengan keluarga, hidup di perantauan sebenarnya sentiasa terdedah kepada pelbagai risiko yang tidak diduga. Menyingkap permasalahan berkahwin diwaktu belajar, kami ingin membawa saudara membuka minda meneliti skop pembahasan ilmiah berdasar sunnah nabawiyyah yang bercerminkan wahyu Ilahi .
Berkaitan dengan fenomena ini keadaan seseorang manusia terbahagi kepada empat :-

1) Golongan yang sangat ghairah untuk mendirikan rumah tangga dan mereka memiliki kemampuan material, maka disunatkan bagi mereka agar berkahwin. .
2) Golongan yang tiada perasaan ghairah untuk berkahwin dan tidak mempunyai kemampuan material, maka dimakruhkan berkahwin .
3) Golongan yang terlalu ghairah tetapi tiada kemampuan material, maka dimakruhkan baginya berkahwin dan diperintahkan oleh syara` agar berpuasa untuk meredakan runtunan nafsu dan mengurangkan tekanan perasaan. Mereka ini juga dimakruhkan untuk berkahwin.
4) Golongan yang memiliki kemampuan material tetapi tiada keghairahan untuk berkahwin, maka afdhal bagi mereka membujang dan melakukan ibadat. Meskipun demikian bukanlah dimaksudkan di sini bahawa mereka ini makruh berkahwin. Ini berdasarkan mazhab Syafie. Manakala, menurut mazhab Hanafi dan sebahagian ashabus Syafie serta sebahagian ashab Malik bernikah adalah afdhal .

Seterusnya lagi, memandangkan pada kebiasaannya mereka yang belajar adalah berusia muda, maka eloklah ditinjau juga apakah taujihat sunnah terhadap mereka dan gesaan untuk berkahwin.

1) Sabda Rasulullah bermaksud : “Wahai sekelian pemuda! Sesiapa daripada kamu yang mempunyai kemampuan hendaklah ia berkahwin, sesungguhnya yang demikian itu dapat menundukkan padangan, dan lebih memelihara kemaluan. Barang siapa yang tidak berkemampuan hendaklah ia berpuasa, itulah penawar baginya”.

2) Menurut Imam Nawawi “Asy Syabab” ( pemuda ) adalah mereka yang baligh dan belum mencecah umur 30. Arahan Rasulullah ini merupakan gesaan yang hukumnya sunat mereka yang ada keinginan. Golongan ini disunnatkan berkahwin kerana mereka berupaya untuk beristimta` (bersedap-sedapan) dengan cara yang paling lazat, dapat memuaskan rasa ghairah dengan cara terbaik, lunak percakapan, mereka memiliki wajah dan tubuh badan yang menarik, sentuhan yang paling lembut dan dapat menzahirkan akhlak yang meredhakan pasangan masing-masing seterusnya mencetuskan kemesraan yang mendalam .

3) Seorang sahabat berkata kepada sahabat yang lain dengan maksudnya : “Apalah kiranya kami mengahwinkan mu dengan seorang khadam yang muda, semoga ia dapat mengingatkan mu sebahagian apa yang telah berlalu daripada umur mu” .

Dalam menjelaskan kalam ini Imam Nawawi mengatakan : “Maknanya adalah jika kamu bersama dengan pasanganmu itu, engkau dapat mengingati kembali kecergasan dan kekuatan mudamu kerana dengan demikian itu dapat menyegarkan badan”.

4) Nabi Muhammad menikahi `Aishah ketika `Aishah berusia sembilan tahun.

5) Rasulullah menegah Uthman bin Maz`un daripada tabattul (iaitu meniggalkan kelazatan dunia dan segala syahwatnya semata-mata untuk melakukan ibadat kepada Allah). Menurut Imam Nawawi : tegahan diajukan kepada mereka yang mempunyai kemampuan material, sangat ghairah, dan mereka yang terdedah kepada bahaya dengan tabattul melakukan amalan ibadat yang banyak dan berat.

Jelas di sini mereka yang menuntut ilmu juga adalah termasuk di dalam lingkungan beribadat sepertimana yang termaktub di dalam hadis, maka di manakah rasionalnya, mereka yang mengatakan orang sedang belajar jika berkahwin melanggar adat???
Kita tidak nafikan terdapatnya segelintir ibubapa yang begitu berkeras terhadap anak anak agar menamatkan pengajian terlebih dahulu dan kembali membantu ibu bapa sebagai membalas jasa mereka, persoalannya adakah dengan berkahwin menjadi penghalang kita untuk berjasa dengan mereka, apakah bezanya berjasa selepas berkahwin dengan berjasa sebelum berkahwin. Kemungkinan juga ibu bapa menganggap anaknya sudah membelakangkan mereka dengan melangsungkan perkahwinan di perantauan. Ibu bapa sepatutnya lebih rasional dan perlu membuat pelbagai pertimbangan, soal usia anak tidak boleh dikesampingkan. Demikian juga dengan persoalan psikologi mereka, bayangkan jika semua rakan-rakan sudah mendirikan
rumahtangga sedangkan dia bersendirian meneruskan kehidupannya di saat usia sudah hampir mencecah ke angka 30-an, sudah tentu ada rasa kecil hati dan rasa tersisih jauh di sudut sanubarinya. Begitu juga dengan keperluan dalaman anak-anak yang berkemungkinan memjejaskan prestasi dan pencapaian di dalam pengajian. Dalam apa keadaan sekalipun, kita perlu lebih mengutamakan soal hukum yang disyariatkan mengatasi persoalan adat. Memanglah masyarakat melayu kita ta`asub dengan adat yang diwarisi, meskipun mereka menyedari adat tersebut bercanggah dengan tuntutan agama, namun apabila ianya sudah menjadi warisan,
mereka tetap juga akan mempertahankanya. Lebih lebih lagi bagi masyarakat N. Sembilan yang menjadikan adat Perpatih sebagai sandaran hidup mereka.
Masyarakat sekarang merupakan masyarakat yang berpendidikan tinggi tak kira samada lelaki mahupun perempuan. Kalau hendak diikutkan, perkahwinan mesti di langsungkan selepas menuntut dan menamatkan pengajian, alangkah malangnya bagi mereka yang berhasrat untuk melanjutkan pengajian hingga ke peringkat Majester dan Phd. Terutamanya bagi golongan perempuan. Ini semua perlu di beri perhatian. Bukan sekadar hendak mempertahankan adat batil.
Seterusnya kita tinjau pula, bagaimana halnya jika terdapatnya pertembungan antara tuntutan melaksanakan perkahwinan dan tidak mendapat restu kedua ibubapa bapa. Bagaimana kita hendak menggarap permasalahan ini. Ini memerlukan penelitian dan kajian di segenap sudut. Keharmonian perhubungan kekeluargaan dan silaturrahim tidak boleh dipermudah mudahkan. Perlu difahami, pertimbangan masalah ini perlu diletakkan pada mizan aulawiyyat.
Mentaati ibubapa adalah wajib dan berkahwin juga adalah wajib dalam kes-kes yang tertentu. Manakah yang perlu didahulukan? Perlu difahami di sini bahawa mentaati ibu bapa adalah termasuk dalam kategori maslahah khossoh manakala berkahwin adalah maslahah `ammah. Ini kerana , berkemungkinan tanpa perkahwinan boleh menimbulkan pelbagai masalah kemasyarakatan dan penyakit sosial. Berdasarkan pendapat para ulama maslahah `ammah perlulah didahulukan daripada masalah khosoh. Jika keperluan untuk berkahwin berada pada tahap hukum sunnat, maka yang fardhu diauwlakan berbanding yang sunnat dan harus .
Walaubagaimanapun, menyentuh masalah yang berkaitan dengan ibu bapa dan para wali mereka perlu faham dan akur pada desakan Rasulullah ini :-

1) “Sesungguhnya terhadap wanita dari ruang pandang (dari seorang lelaki) terdapat gambaran syaitan, barang siapa yang teransang syahwatnya maka hendak segera mendatangilah isterinya .”
(Jelaslah di sini peri pentingnya mendirikan rumah tangga memandangkan golongan yang hidup membujang sentiasa terdedah kepada ajakan dan ransangan nafsu serakah yang tidak mengenal batas batas syara’ meskipun dengan sekadar melihat kepada wanita).

2) “Apabila datang kepada kamu sesiapa yang kamu meredhai agamanya dan akhlaknya, maka nikahkanlah ia. Jika kamu tidak lakukan sedemikian, fitnah dan kerosakkan yang besar akan melanda”. Sesungguhnya yang demikian itu dapat meredakan ketegangan syahwatnya. Kemudian para sahabat berkata : Sekiranya padanya…??? ( Sedikit daripada kekurangan harta dan tiada kufuk ) ”. Lantas Rasulullah bersabda : “Apabila datang kepada kamu sesiapa yang kamu meredhai agamanya dan akhlaknya, maka nikahkanlah ia” . (Baginda mengulanginya tiga kali).
Menurut Abdulllah Naseh `Ulwan, antara masalah yang dihadapi oleh mahasiswa untuk mendirikan rumahtangga antaranya adalah seperti berikut: -
- Masalah material
- Perkahwinan mengganggu proses pembelajaran
- Malu untuk berterus terang kepada keluarga .

Seterusnya Abdul Naseh `Ulwan mengemukakan cadangan bagi menyelesaikan masalah di atas:-

1) Masalah material. Jika mereka tergolong daripada kalangan yang berkemampuan, maka para ibubapa dan wali sepatutnya bertoleransi dalam perkara ini dengan memahami masalah sebenar yang dihadapi oleh pemuda seterusnya memberi ruang kepada mereka untuk memudahkan urusan perkahwinan.
Bagi mereka yang tidak berkemampuan pula, perlulah diwujudkan satu pertubuhan yang bergerak bertujuan mencari sumber keewangan untuk disalurkan kepada mereka yang ingin mendirikan rumah tangga.
2) Perkahwinan mengganggu proses pembelajaran. Sebenarnya kenyataan ini bercanggah dengan hadis Rasulullah yang bermaksud : “Sesiapa yang direzekikan dengan wanita solehah maka ia telah mendapat bantuan pada sebahagian agamanya , maka bertaqwalah kepada Allah pada sebahagian lagi”. ( Rowahu At Tabrani, Al Hakim dan Al Baihaqi )
Isteri boleh membantu untuk melakukan pelbagai urusan seharian yang mengurangkan masa
pembelajaran seperti memasak, membasuh dan sebagainya. Mungkin ada pula mereka yang mengatakan bahawa anak-anak kecil sering mengganggu, sebenarnya jika si isteri benar-benar melaksanakan tanggungjawabnya, tidak akan timbul permasalahan ini. Perkahwinan juga akan mencetuskan situasi jiwa yang lebih memberansangkan untuk meningkatkan qualiti proses pembelajaran. Ini semua adalah berdasar realiti yang telah pun dialami oleh para ulama-ulama sendiri.

3) Malu untuk berterus-terang Memadailah untuk kita kisah Abdullah bin Zubair : - Ketika mana Beliau sedang bermain-main bersama rakan rakannya, kemudian datang Saidina Umar, maka tidak semena mena larilah rakan-rakannya yang lain. Maka Saidina Umar “bertanya mengapakah engkau tidak lari seperti rakan-rakanmu ?” Maka beliau menjawab secara terus-terang dan beradab : “Aku tidak melakukan jenayah yang menyebabkan aku perlu lari, dan jalan ini tidak sempit sehinggakan aku perlu membuka ruang untukmu .
Seorang pemuda sebelas tahun datang menemui Umar Ibnul Aziz: Maka Saidina Umar berkata : “Pulanglah kamu , datanglah kepadaku orang yang lebih berumur dari engkau !!” Maka ghulam itu menjawab : “Semoga Allah menolong Amirul Mukminin, nilaian seseorang adalah dengan dua perkara yang paling kecil iaitu hati dan lidah, jika Allah menganugerahkan seseorang dengan lidah petah dan hati yang terpelihara ia telah berhak untuk bercakap . Wahai Amiral Mukminin, jikalau penentuan urusan dengan berdasarkan umur, terdapat pada ummat ini orang yang lebih layak daripadamu ini. Demikian tadi telah dipaparkan bagaimana keberanian mereka berterus terang, jelaslah kepada kita usia bukan penghalang utama untuk kita berterus terang dan sifat malu yang tidak kena pada tempatnya bukanlah suatu yang dituntut dan tidak bertepatan dengan Islam.

Kesimpulannya, setelah meniliti nas syarak jelaslah kepada kita sikap ibubapa yang menyekat anak-anak mereka melaksanakan tuntutan agama tanpa alasan kukuh dan sandaran yang kuat adalah tindakan terburu nafsu . Mereka yang mengatakan bahawa pengajian adalah penghalang perkahwinan adalah tidak rasional sama sekali !!!!!!!!!!!!!!

No comments:

Post a Comment