Tuesday, March 16, 2010

Tanggungjawab anak berbakti kpd Ibu



'SYURGA itu di bawah tapak kaki ibu.’ Begitulah tingginya martabat ibu dan dalamnya makna kata-kata berkenaan yang sangat sinonim serta mudah difahami setiap orang, terutama anak.

Banyak lagi kata mengenai martabat seorang ibu antaranya, ‘cinta ibu tidak pernah lapuk’, ‘cinta ibu adalah yang paling baik daripada segalanya’ dan ‘di sisi ibu adalah tempat yang paling ahlan.’ Semuanya membuktikan kemurnian cinta ibu.

Anak perlu sentiasa mengingati pengorbanan ibu. Mereka boleh memohon maaf kepada ibu yang masih ada serta memberikan hadiah bersesuaian kepada ibu yang mereka kasihi dan sayangi.

Justeru, wanita diamanahkan Allah s.w.t sebagai ibu yang hamil dan melahirkan anak iaitu tanggungjawab paling asas dan penting.
Persediaan untuk menjadi ibu mesti difahami sepenuhnya oleh anak betapa besarnya jasa dan pengorbanan ibu.

Memang patutlah Allah menyuruh kita taat kepada ibu tiga kali lebih daripada bapa disebabkan jasa ibu lebih banyak.

Walaupun bapa juga banyak berkorban untuk membesarkan anak, tetapi pengorbanan ibu hingga menggadai nyawanya.

Antara firman Allah bermaksud: “Dan Kami (Allah) mewajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya. Ibunya mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga menyusukannya); dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (oleh yang demikan) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).” (Surah Al-Luqman: 14)

Daripada firman itu, Allah memperincikan beberapa perkara yang wajib disedari iaitu anak diwajibkan berbuat baik kepada ibu bapa, terutama kepada ibu.

Ibu juga menanggung kelemahan demi kelemahan ketika mengandung hingga anak bercerai susu. Manusia juga wajib bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada ibu bapa.

Faktor yang penting dalam berbuat baik kepada ibu bapa ialah anak jangan sesekali menyakiti hati mereka. Ingatlah kepada sebuah hadis Rasulullah s.a.w bermaksud: “Syurga itu di bawah tapak kaki ibu.” (Hadis riwayat Abu Daud dan An-Nasai)

Anak perlu melaksanakan kewajipan dan tanggungjawabnya kepada ibu bapa dengan menjaga dan melayani mereka yang tua dan uzur.

Gunakanlah bahasa yang lemah lembut dan bersopan dengan mereka.

Tanggungjawab anak terhadap ibu bapa boleh dilakukan dengan berbuat baik kepada mereka dengan berbakti dan berkhidmat kepada kedua-duanya sewaktu mereka masih hidup iaitu ketika sihat atau sakit atau sesudah meninggal dunia.

Firman Allah maksudnya: “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa.” (An-Nisa:36)

Seseorang anak tidak hanya dituntut melayani dan menghormati ibu bapa sekadar berbudi bahasa, malah digalakkan memberi sumbangan kewangan bagi meringankan beban kehidupan mereka.

Inilah hadiah yang paling bermakna daripada seseorang anak yang dilakukan sepanjang masa.

Anak juga digalakkan berdoa dan memohon keampunan terhadap dosa ibu bapa ketika waktu hidup atau setelah meninggal dunia.

Selain itu, mereka dituntut menunaikan amanah dan melaksanakan wasiat serta segala hutang piutang sewaktu masih hidup sama ada berkaitan dengan ibadat fardu ain seperti ibadat puasa, haji dan zakat.

Digalakkan juga mengerat dan menghubungkan silaturahim dengan sahabat dan teman baik ibu bapa ketika hidup atau selepas mereka meninggal dunia.

Seorang anak hendaklah sentiasa berhati-hati dan waspada ketika berkata-kata dan perbuatan supaya jangan sampai menyakiti hati ibu bapa, terutama sekali ibu.

Ketika memelihara ibu atau bapa yang tua dan uzur, seseorang anak hendaklah bersikap sabar dan tabah.

Memang tidak dapat dielakkan pelbagai perangai dan ragam mereka yang tidak menyenangkan, termasuk pemarah, meminta layanan baik dan menyucikan najisnya.

Semuanya ini adalah ujian dan dugaan yang menuntut kesabaran dan balasannya adalah syurga.

Dalam hubungan ini, Rasulullah pernah bersabda bermaksud: “Tidaklah seseorang anak itu membalas jasa ibu bapanya sehingga apabila mendapati ibu bapanya itu menjadi hamba orang, maka dibelinya dan dimerdekakanya.” (Hadis riwayat Muslim daripada Abu Hurairah)

No comments:

Post a Comment