Friday, October 23, 2009

Pentingnya Menjaga Hubungan Baik Dengan Ibu Bapa



Ibu bapa adalah insan yang banyak berusaha dan tiada ternilai korban jasa mereka terhadap anak-anak. Pengorbanan yang diberikan oleh ibu bapa kepada anak-anak adalah tidak terbatas hinggakan sanggup memerah keringat, berkorban harta benda dan segala-galanya malah hinggakan nyawa sekalipun asalkan kedua-dua mereka dapat menyara kehidupan untuk membahagiakan, menyenangkan dan menjayakan anak-anak mereka.

Sehubungan dengan itu, setiap anak wajiblah berlaku taat kepada kedua-dua ibu bapa mereka ketika mereka masih hidup mahupun setelah mereka tiada (meninggal dunia). Hubungan di antara anak dengan ibu bapa 'ibaratkan isi dan kuku' yang menyatu rapat hinggakan bila berpisah terasa sakitnya. Oleh sebab itu, dalam menjalani kehidupan di dunia ini menjaga hubungan baik dan mesra dengan ibu bapa adalah suatu kewajipan kerana ianya akan dapat menentukan keharmonian dan kesempurnaan hubungan di antara kedua-dua pihak (ibu bapa dan anak). Di dalam perkara ini, ada dijelaskan dalam firman Allah subhanahu wata'ala dalam surah al-Israa' ayat 23 - 24 yang bermaksud:

"Dan Tuhanmu telah perintahkan, kepada engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah mereka, dengan berkata "Wahai Tuhanku! cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."

Jelaslah bahawa mentaati kedua-dua ibu bapa termasuk sebagai perintah yang utama dan dilarang bagi setiap anak mencaci, mengherdik dan melaknat kepada kedua-dua ibu bapa mereka kerana perbuatan tersebut adalah di antara sebesar-besar dosa besar. Berhubung dengan masalah inilah Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam menjelaskan dan menekankan dalam hadis baginda yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud:

"Sesungguhnya di antara sebesar-besar dosa besar, ialah seseorang melaknat orang tuanya sendiri kemudian para sahabat merasa hairan, bagaimana mungkin seorang yang berakal dan beriman akan melaknat orang tuanya, padahal mereka adalah penyebab hidupnya. Kemudian mereka itu bertanya… bagaimana boleh jadi seseorang akan melaknat dua orang tuanya? Maka jawab Nabi … iaitu dia mencaci ayah orang lain kemudian orang tersebut mencaci ayahnya dan ia mencaci ibu orang lain, kemudian orang tersebut mencaci ibunya."

Jelas dari maksud hadis terebut nyatalah betapa besar dan tingginya kedudukan, kemuliaan dan berkatnya kedua-dua ibu bapa dan ini menguatkan untuk menjadi kemestian setiap anak wajib berlaku taat kepada kedua-dua ibu bapa mereka di jalan yang diredai oleh Allah Subhanahu Wata'ala.

Dari itu setiap anak hendaklah prihatin dan terus-meneruslah berusaha mengukuhkan tali silaturahim dengan ibu bapa sepanjang hayat meskipun si anak telah berumah tangga supaya keintiman dan kemesraan antara kedua-dua belah pihak terus meningkat. Bila ini dapat di- capai kewajipan yang terbeban itu akan tertunai. Dengan itu hubungan berkeluarga akan sentiasa terjaga dan tidak akan mungkin timbul sebarang masalah malah kita terhindar daripada bahayanya berlaku perbalahan antara ibu bapa dengan anak. Pentingnya perkara ini kita perlakukan demikian kerana ianya adalah suatu amanah yang akan dipertanggungjawabkan bukan hanya ketika hidup di dunia tetapi juga sampai di akhirat kelak. Hal ini lebih jelas lagi diterangkan betapa pentingnya menjaga hubungan yang baik dengan kedua-dua ibu bapa melalui firman Allah subhanahu wata'ala dalam surah al-Ahqaaf ayat 15 yang bermaksud:

"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya"

Maksud firman ini jelas bahawa isu ini merupakan perintah yang telah diwajibkan kepada kita sebagai manusia iaitu untuk melaksanakan ketaatan kepada kedua-dua ibu bapa, oleh itu wajiblah dipatuhi kerana ganjaran pahalanya akan kita terima kelak; hanya Allah subhanahu wata'ala sahaja Yang Maha Berkuasa memberi limpah kurniaan-Nya. Makanya buatlah bakti kepada kedua-dua ibu bapa dengan jujur dan ikhlas kerana Allah subhanahu wata'ala jua.


No comments:

Post a Comment